Bekas pegawai kanan Bernas dituduh terima rasuah
ALOR SETAR - Bekas pegawai kanan Padiberas Nasional Berhad (Bernas)
hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas enam pertuduhan
menerima rasuah berjumlah RM73,000 bagi mendapatkan kuota beras Super
Tempatan 15 peratus (ST15) untuk pihak ketiga pada 2013 dan 2014.
Hassin Mad Zin, 54, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan
selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid
Hussain.
Dia dituduh menerima suapan RM9,000 daripada pemilik WH Awana
Enterprise melalui akaun Bank Islam cawangan Alor Setar pada 1.38 tengah
hari, 6 Ogos 2014 bagi mendapatkan 30 tan beras ST15 bagi bulan Julai
tahun sama daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Zanol Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April bagi sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, Hassin mengaku tidak bersalah terdapat lima
pertuduhan menerima suapan RM12,800 pada September, Oktober, November,
Disember 2013 dan Januari 2014 daripada pemilik Syarikat Berkat Zarul
Enterprise sebagai dorongan mendapatkan 40 tan beras ST15 bagi syarikat
itu bagi bulan September, Oktober dan November dan dua kali bagi
Disember daripada kementerian sama.
Tertuduh didakwa menerima suapan itu menerusi akaun Bank Islam Cawangan
Guar Chempedak, Gurun pada 11 September, 9 Oktober, 8 November, 5
Disember 2013 dan 7 Januari 2014.
Zanol Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang
penjamin dan menetapkan 26 April untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili peguam Mohamad Sofee Razali dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A.Hafiizh Abu Bakar daripada SPRM.
Bagi semua pertuduhan itu, Hassin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di
bawah Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20
tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment