Rafizi gesa PM jangan buat lawak
KUALA LUMPUR - "Jangan buat lawak tidak bertempat. Ia tidak membantu menyelesaikan masalah negara dan rakyat".
Demikian kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika diminta mengulas
kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan
salah satu punca utama tekanan kos sara hidup ialah kelulusan pendidikan
yang masih di peringkat rendah.
Rafizi berkata, mengikut rekod, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun,
bilangan rakyat yang mendapat pendidikan tertinggi semakin bertambah
setiap tahun.
"Kalau perdana menteri kata bahawa tekanan kos sara hidup adalah sebab
tidak mempunyai pendidikan tertinggi, perkara itu berlawanan dengan
fakta sedia ada.
"Masalah orang yang berpendidikan tinggi ini adalah perlukan wang yang
banyak untuk segulung ijazah. Bila habis belajar tiada kerja dan perlu
bayar hutang. Itu yang menyebabkan tekanan," katanya pada sidang media
di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Najib seharusnya memfokuskan kepada
perkara yang lebih penting dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang
boleh mengundang kemarahan rakyat.
"Saya gembira bila Najib terus membuat kenyataan kurang cerdik seperti
itu kerana dia akan terus membuat orang makin marah kepadanya," katanya.
Kelmarin, dalam Sidang Dewan Rakyat, Najib berkata, pendidikan di tahap
rendah menyebabkan golongan tersebut sukar mendapatkan pekerjaan yang
menawarkan pendapatan yang berpatutan.
Beliau berkata, negara perlu tingkatkan lagi bilangan rakyat Malaysia yang ada kelulusan tambahan.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr Noor
Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang ingin tahu sama ada penilaian kos
sara hidup di Malaysia disandarkan dengan standard kehidupan yang
bersesuaian.
0 orang berkata:
Post a Comment