Ahli Umno dilarang hadir perhimpunan hari ini
PUTRAJAYA - Ahli Umno dilarang menyertai perhimpunan tertutup yang
dilaporkan bakal dihadiri pemimpin pembangkang dan bekas perdana menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad di Shah Alam petang ini, kata Setiausaha Agung
Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata perhimpunan itu lebih merupakan satu 'onar' untuk
meruntuhkan sesebuah institusi demi mencapai matlamat peribadi individu
tertentu.
"Kita tak benarkan anggota Umno untuk pergi ke program ini sebab saya
ingat ia onar, iaitu oleh kerana dia tak capai sesuatu, dia nak
runtuhkan sesuatu institusi untuk capai matlamat orang tertentu.
"Sekarang mereka cakap program itu bukan untuk (runtuhkan) Umno ...
tetapi mereka mungkin lupa selama 70 tahun ini siapa yang mentadbir
negara ... bukankah Perikatan dan Barisan Nasional dan tulang
belakangnya adalah Umno," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival
Sukan Umno peringkat Putrajaya di sini hari ini, antara lain menampilkan
acara bola sepak, futsal, bola tampar, bola jaring, dam dan tarik tali.
Ditanya bentuk tindakan terhadap ahli Umno yang menghadiri perhimpunan
itu, Tengku Adnan berkata perkara itu akan diteliti tetapi sebagai
sebuah parti yang mengamalkan demokrasi Umno sedia melepaskan mereka
yang tidak lagi berminat untuk terus bersama parti dan kepimpinan sedia
ada.
"Kita tak suka ada dalam parti ini 'anai-anai, gunting dalam lipatan'
... kalau dah tak setuju, buka parti lain, keluar daripada Umnolah, dan
kita tahu bagaimana nak jaga Umno," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan
berkata Karnival Sukan Umno yang telah dan akan dilaksanakan di semua
bahagian Umno seluruh negara bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara
ketua bahagian, ketua-ketua cawangan dan ahli parti di peringkat akar
umbi.
Beliau berkata sebagai sebuah parti politik, pihaknya sedar kewujudan
sebilangan ahli yang tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan ketua
bahagian, ketua cawangan dan parti sendiri dan ia perlu ditangani
segera.
"Kita harap program seperti Karnival Sukan ini mampu menjadi landasan
dalam mengeratkan hubungan antara ahli parti selain dijadikan platform
menepis persepsi negatif yang dikaitkan dengan Umno kebelakangan ini,
katanya.- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment