Macam mana kes seleweng RM100j boleh terlepas?
SHAH ALAM – Pas menyifatkan jumlah ketirisan yang berlaku dalam
kerajaan selama ini mampu menampung pembiayaan biasiswa yang disekat
oleh kerajaan mengurangkan kadar tol dan tambang pengangkutan awam serta
menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, rakyat tidak reda jika
penyelewengan ini terus dilakukan dan pada masa yang lama lebih ramai
rakyat yang menderita akibat tanggungan kos sara diri yang terlalu
tinggi.
“Kes rasuah RM100 juta yang dibongkarkan di Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) baru-baru ini telah mencemar integriti penjawat awam. Bagaimana
jumlah yang terlalu besar terlepas daripada pemeriksaan pegawai audit
kementerian dan Jabatan Audit Negara?
[ARTIKEL BERKAITAN: Songlap RM100 j: KJ perlu bertanggungjawab]
“Isu ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan
perbelanjaan keseluruhan dana awam yang diperuntukkan kepada kerajaan
setiap tahun,” katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
mengesahkan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) berkaitan penyalahgunaan dana RM100 juta adalah pegawai di bawah
kementeriannya.
Menurut Nasrudin, isu tersebut kemuncak kepada ketirisan dan penyelewengan dana awam di negara ini.
“Hampir setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan salah
guna dana awam sama ada perbelanjaan yang tidak relevan, ketidakpatuhan
dalam prosedur perolehan dan perjalanan projek yang tidak mengikut
spesifikasi. Namun, semua pembongkaran korupsi tersebut masih tidak
mampu mengekang kezaliman yang berlaku.
“Adakah kita mahu ia terus berulang? Jika laporan ketua audit ini
menjadi indikator terhadap parameter korupsi di sektor kerajaan, ia
hanya meliputi 5 peratus daripada keseluruhan transaksi dan dibuat
secara rawak.
“Oleh itu, bagaimana untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, rasuah,
korupsi dan kronisme tidak akan berlaku lagi? Rakyat menuntut agar satu
reformasi dilakukan secara serius supaya kezaliman ini mesti
dihentikan,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment