Dr Vida diberi amaran patuhi peraturan
PENASIHAT Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan
(Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman diberi amaran agar mematuhi
peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan
membabitkan pasukan The Red Warriors.
Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership
(FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, terdapat beberapa peraturan perlu
dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian
berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.
"Beliau perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti elakkan
menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai
oleh pemain di padang... itu sebab pemain yang berada di bangku
simpanan memakai bib agar tidak sama dengan rakan sepasukan yang sedang
beraksi.
"Selain itu, beliau tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk
bertemu dengan penyokong dan perkara-perkara seumpama itu. Ia adalah
peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi," katanya kepada
Bernama.
Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida, dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.
Kevin menegaskan bahawa Hasmiza mungkin tidak dibenarkan memasuki
kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan-peraturan tersebut.
"Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, maka kami tiada pilihan
bagi memastikan tiada sesiapa melanggar peraturan. Kami memang inginkan
sesuatu yang menghiburkan tetapi tidaklah sampai ke tahap ini, yang
menjejaskan peraturan," katanya.
Kevin berkata, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi
pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan, dan FMLLP selaku entiti
swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga M) sejak awal musim ini,
akur berdasarkan peraturan itu.
Ditanya mengenai laporan bahawa jadual Liga M yang padat musim ini,
Kevin menjelaskan perkara itu adalah disebabkan saingan liga berkenaan
tahun ini bermula lewat.
"Biasanya musim baru bermula Januari tetapi tahun ini, kita bermula
pada Februari kerana saingan musim lepas berakhir lewat ekoran jerebu
dan beberapa masalah lain. Kami benar-benar memahami ia bukan situasi
yang ideal, kami tidak mahu ia berjalan seperti ini tetapi terpaksa
kerana sudah lewat sebulan.
"...dan pada Jun tahun ini, saingan liga juga berehat bagi memberi
laluan kepada perlawanan antarabangsa untuk aksi kelayakan play-off
Piala Asia 2019," katanya.
Walaupun bermula lewat, Kevin berkata, saingan liga musim ini dijangka
selesai pada penghujung Oktober, sama seperti sebelumnya, bagi pra musim
pada November dan Disember, untuk memberi laluan kepada Piala AFF
Suzuki. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment