Ritual raja bomoh: Ini pesanan untuk bukan Islam
SHAH ALAM – Susulan video yang menunjukkan upacara ritual pecah
tembikai bagi mengurangkan cuaca panas yang tersebar didakwa dilakukan
pada Isnin, golongan bukan Islam diharapkan tidak mengaitkannya dengan
agama Islam.
Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata,
kepercayaan tahayul seperti itu tidak pernah diiktiraf oleh Islam.
“Kepada bukan Muslim yang melihat video ini, harap anda tidak
mengaitkan perbuatan mereka ini dengan Islam. Di samping ayat-ayat
al-Quran yang dibaca secara tidak betul sebutannya, tahayul
(superstition) yang seperti ini tidak pernah diiktiraf oleh Islam.
“Agama Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan perbuatan bodoh
dan sia-sia. Apatah lagi disertakan dengan pembaziran seperti ini. Buah
untuk dimakan bukan untuk dibazirkan secara sia-sia,” katanya melalui
kemas kini status di Facebook, malam tadi.
Dalam rakaman video itu, raja bomoh, Ibrahim Mat Zin bersama empat lagi
individu lain termasuk seorang wanita membaca surah Yassin dan berdoa
agar cuaca panas dikurangkan sebelum memecahkan lima biji tembikai
bersama-sama.
0 orang berkata:
Post a Comment