Cantas segera 'pemakan dedak' setia, kata Zaid
SHAH ALAM - Pemimpin yang mengamalkan rasuah atau bersubahat
mengamalkan rasuah perlu ditolak segera, demikian ujar bekas Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Menyifatkan golongan tersebut sebagai 'pemakan dedak' setia, Zaid
mendakwa, mereka bersubahat menutup krisis rasuah di negara ini hanya
orang-orang yang selesa dengan pembohongan yang dibuat terhadap rakyat.
"Mereka ini kononnya mahukan Islam, mahukan integriti dalam kerajaan.
Hakikatnya, mereka ini selesa dengan rasuah, mereka selesa dengan
pembohongan.
"Kita malu dengan apa yang berlaku pada negara hari ini. Bukan hanya kes 1Malaysian Development Berhad, tetapi kes-kes lain.
"Negara ini menjadi subjek utama cemuhan dunia. Kita tidak boleh
bersabar lagi," katanya ketika berucap di Kongres Rakyat 2016 di Pusat
Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.
Kata-katanya disambut dengan riuh gamat sorakan peserta kongres yang hadir di program ini, hari ini.
Menurutnya lagi, beliau cukup bertuah kerana beberapa pemimpin seperti
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdiri di sisi melaungkan perjuangan
yang sama.
"Kita bernasib baik, kita ada patriot negara yang tulen. Bukan patriot
di Putrajaya. Kita kenal semua dan kita sayang Mahathir. Beliau tidak
peduli fitnah yang mengatakan beliau ada agenda peribadi.
"Kita tidak boleh bersabar lagi. Ramai rakyat jelata hidup dalam
kesusahan. Tidak ada agenda yang boleh dilaksanakan jika pemimpin tidak
amanah," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment