Akta kawal dana politik sedang diteliti panel
SERDANG - Penggubalan akta atau undang-undang bagi mengawal sumbangan
atau dana politik terhadap parti politik atau individu sedang diteliti
sebuah panel, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata panel berkenaan kini meneliti akta atau undang-undang
berkaitan sebelum memutuskan bagaimana ia perlu dilaksanakan kelak.
"Panel tengah bincangkan undang-undang baharu yang boleh dipakai, kita
sedang menanti keputusan itu. Senang nanti jika ada undang-undang baharu
itu," katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan
menghentikan penerimaan dana politik dari luar negara.
Johari berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari
Keluarga Perbendaharaan 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)
di sini hari ini.
Tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng
Kuan berkata satu mekanisme diperlukan bagi memastikan parti politik
mendapat dana dari saluran yang betul.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti
politik patut berhenti menerima dana politik dari luar negara.
Dalam perkembangan lain, Johari menyifatkan kenaikan 4.2 peratus Indeks
Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2016 merupakan kesan
serta-merta daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)
tahun lalu.
"Sesetengah para peniaga telah meningkatkan harga terutamanya barang
bukan kawalan serta belum membiasakan dengan GST ... saya yakin apabila
GST menjadi sebahagian daripada sistem GST, maka harga barang-barang
akan turun secara automatik," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment