Semua perlu larang penggunaan polisterin
KUALA LUMPUR - Semua negeri bukan sekadar Johor dan Perak perlu
melarang penggunaan bahan polisterin, kata Pengerusi NGO Kumpulan Alam
Sekitar Malaysia (MENGO), Yasmin Rasyid.
Beliau berkata, langkah itu akan memastikan keberkesanan sepenuhnya
dalam menghindari penggunaan polisterin terutama sebagai bekas makanan
yang bahan itu merupakan pencemar kepada alam sekitar.
Larangan di Perak termasuk penggunaan plastik akan berkuat kuasa pada
Jun tahun depan sementara Johor dijangka mengumumkan tarikh
pelaksanaannya pada penghujung tahun ini.
Dalam kaitan dengan isu yang sama, Perlis pernah dilapor melarang
penggunaan kertas bercetak seperti surat khabar untuk membungkus
makanan.
Malah Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menjadi organisasi dan
universiti awam pertama untuk tidak menggunakan bahan polisterin
termasuk sebagai bekas makanan dalam kalangan warga kampusnya.
Namun kurang diuar-uarkan mengenai kejayaan langkah USM itu sejak sekian lama.
"Semakin cepat larangan dikuat kuasa, semakin cepat kesan kepada alam
sekitar dapat dihindarkan. Namun larangannya jangan hanya sekadar cakap
kosong, Kita mahu lihat bukti berkesan pelaksanaannya," kata Yasmin.
Beliau berkata, sikap masyarakat untuk menerima larangan tersebut perlu turut ditekan dan disemai.
"Manusia sukar berubah dalam masa singkat untuk menerima perkara
baharu. Ia perlu disusuli dengan langkah-langkah penerangan dan
mendidik," tambahnya.
Dari sudut lain, Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan
Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh berkata, pihak berkaitan
misalnya penjual makanan dan pemilik restoran jangan mengambil
kesempatan mengenakan harga lebih tinggi dengan penggantian bekas
makanan jenis lain.
"Bahan lain bukan mahal sangat. Malah boleh digalakkan penggunaan bekas makanan sendiri," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment