Mukhriz: Saya akan terus bongkar
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan
terus membongkar isu-isu berkepentingan rakyat termasuk salah laku
pemimpin tertinggi parti.
Katanya, perkara yang didedahkan menjurus kepada kepincangan Umno
kerana mahu selamatkan parti itu daripada terus menjadi mangsa kerakusan
segelintir pemimpin.
“Pendedahan terbaru pasti ada setiap kali turun jelajah seluruh negeri,
anda tunggu dan lihat,” katanya yang akan berada sepentas dengan Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal termasuk Tun Dr
Mahathir Mohamad, membicarakan isu-isu semasa Selamatkan Malaysia, pada
28 April di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, Jitra.
Mukhriz berkata, pemimpin yang kini dilabel sebagai Team B Umno akan
melontarkan pandangan alternatif berhubung apa yang sedang berlaku dalam
negara.
“Rakyat Kedah yang mahukan jawapan tentang situasi sebenar apa yang
berlaku dalam negara bolehlah hadir. Saya nak ajak rakyat Kedah termasuk
ahli Umno dan pembangkang datang dan dengar sendiri apa yang akan kami
dedahkan, termasuk isu-isu Kedah,” katanya.
Mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
yang menyifatkan tindakan pemimpin Umno yang menyertai siri jelajah
Deklarasi Rakyat memecah belahkan parti, Mukhriz sebaliknya
mempertikaikan kenyataan itu dan meminta Ahmad Bashah merujuk kepada
krisis Menteri Besar Kedah, Januari lalu.
“Sebelum gerakan menjatuhkan saya sebagai menteri besar, Umno Kedah
tidak berpecah. Usaha menggantikan saya dengan Ahmad Bashah itulah yang
jadi penyebab parti berpuak-puak di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashah selepas membuat lawatan rasmi ke kompleks
Jabatan Agama Islam kedah (Jaik) semalam berkata, deklarasi berkenaan
adalah tindakan ahli Umno yang tidak tulen.
Katanya, jika mereka tidak setuju dengan presiden atau parti, mereka boleh keluar dari parti.
“Mereka mahu pertukaran perdana menteri, tunggu PRU akan datang, tidak perlu bertindak dari sekarang,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment