Penganalisis: Bubar Dun Terengganu lebih baik
KUALA TERENGGANU – Pembubaran Dun Terengganu bagi membolehkan satu
pilihan raya negeri diadakan dilihat salah satu solusi bagi menamatkan
kemelut dalaman Umno dan BN serta melancarkan pentadbiran negeri.
Penganalisis politik dan ekonomi Strategic, Leadership & Research
(SLR) Institute, Hazri Hisyam Ab Wahab berkata, ia adalah penyelesaian
terbaik, dalam masa sama tidak menolak dua solusi lain iaitu menukar
menteri besar sedia ada dan juga membentuk kerajaan campuran.
Beliau menegaskan, jika dibuat pembubaran Dun, BN Terengganu masih
mempunyai peluang cerah untuk menang dalam pilihan raya negeri (PRN)
tetapi berdasarkan syarat-syarat tertentu termasuk calon boleh menang.
“Melalui Swot Analysis (Strengths, Weaknesses, Opportunities and
Threads), tiada masalah sekiranya dilakukan PRN. Kalau PRN berlaku di
pantai barat ketika ini, mungkin BN tidak akan menang kerana mentaliti
pengundi di sana lebih kepada isu semasa dan global tetapi kalau di
Terengganu, meletakkan calon yang boleh menang, boleh membantu
kemenangan BN.
“Berdasarkan analisis yang kita buat, sekiranya meletakkan calon yang
betul, BN mungkin boleh menang di 20 kerusi Dun. Kena pastikan mana
calon yang kekal dan mana yang kena tukar. Kombinasi antara kedua-duanya
itu perlu ada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Menurutnya, kedudukan BN Terengganu dengan senario politik tidak stabil ketika ini hanya mengundang kedudukan lebih bahaya.
Sementara itu katanya, tindakan memecat Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad
Said sebagai menteri besar sebelum ini adalah langkah kurang tepat
sekiranya dilihat kepada kesan yang berlaku ketika ini.
Ini kerana katanya, ia hanya mengundang kecelaruan di peringkat dalaman
Umno dan BN apatah lagi BN hanya menang tipis dengan majoriti dua
kerusi Dun mendahului pembangkang.
Sehubungan itu katanya, jika pilihan dibuat dengan menukar menteri
besar yang baharu, masalah tetap sama dan tidak akan menyelesaikan
masalah sedia ada.
“Yang paling baik adalah bubarkan Dun ataupun mewujudkan kerajaan
campuran BN dan Pas. Tetapi kalau kerajaan campuran ia tetap akan
menjadi isu, siapa akan jadi ketua. Kalau masing-masing terbuka, tiada
masalah. Selain itu, ia memerlukan keikhlasan kedua-dua pihak kerana
jika tidak, ia hanya menambahkan kemelut politik melibatkan dua parti,”
katanya.
Bagaimanapun, sekiranya pimpinan mengambil keputusan mengekalkan
menteri besar sedia ada, beliau berkata, Ahmad Razif perlu kuat
berhadapan dengan serangan bukan sahaja di luar parti, malah di
peringkat dalaman sendiri.
“Tiada masalah kalau beliau dikekalkan tetapi beliau perlu kuat.
Menjadi menteri besar tidak semestinya perlu ada gelaran sebagaimana
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini. Begitu
juga dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga
tiada ‘Datuk’,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment