El-Nino: 2,000 jemaah hadir solat Istisqa
KOTA BHARU - Kira-kira 2,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat
Istisqa di Padang Hoki di sini, bagi memohon hujan berikutan cuaca panas
dan kering berikutan fenomena El-Nino yang berlaku di negara ini.
Solat sunat tersebut diadakan pada pukul 7.30 pagi tadi dipimpin oleh
Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Turut menyertai solat berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio
Teknologi dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi
dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd
Rahim Jusoh.
Bercakap kepada Bernama selepas selesai solat itu, Nik Abdul Kadir
berkata, solat sunat itu diadakan bagi memohon kepada Allah agar
diturunkan hujan secukupnya bagi menampung kembali kekeringan yang
dialami di sungai, empangan dan telaga di negeri ini.
"Diharapkan dengan solat ini dan disusuli pula dengan solat-solat di
tempat lain maka ia diberkati dan akan dicurahi dengan hujan yang
secukupnya," katanya.
Majlis tersebut bermula pada pukul 4 pagi dengan bermunajat dan
menunaikan solat sunat tahajjud, taubat, hajat, witir dan solat fardu
Subuh dan kemudiannya solat sunat Istisqa dan diakhiri dengan solat
sunat Dhuha. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment