Nelayan Malaysia dipaksa turun tandatangan
SUBANG - Dua nelayan negara ini yang ditahan pihak berkuasa Indonesia
mendakwa mereka dipaksa untuk menurunkan tandatangan surat perakuan di
lokasi terakhir bot tersebut ditunda Jabatan Perikanan Indonesia.
Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Jamal Yunos berkata, kedua-dua nelayan
berkenaan mendakwa mereka berada di dalam lokasi perairan negara sebelum
ditunda memasuki kawasan Indonesia selama kira-kira dua jam.
"Mereka mengaku ditahan dalam perairan kita dan dikejar bot daripada Jabatan Perikanan Indonesia.
"Setelah ditangkap mereka ini ditunda sehingga masuk ke perairan
Indonesia dan ketika bot diberhentikan, mereka telah dipaksa untuk
menandatangani surat perakuan tersebut.
"Surat perakuan itu adalah bagi menyatakan di kawasan perairan mereka
berhenti itu sebagai lokasi mereka ditahan sedangkan mereka pada mulanya
berada di perairan kita," katanya ketika sidang media yang diadakan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Subang hari ini.
Jamal berkata, pada mulanya kedua nelayan terbabit enggan untuk
menandatangani surat perakuan tersebut namun disebabkan takut dengan
sebarang ancaman, mereka terpaksa akur dengan kehendak pihak terbabit.
Dalam pada itu, Jamal memaklumkan bahawa pihaknya juga akan
memanjangkan perkara itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM )bagi menggelakkan kejadian sedemikian berulang selepas ini.
"Saya rasa perkara ini perlu ditangani bagi menggelakkan permasalahan sama berterusan.
"Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek juga dilaporkan akan berunding dengan Menteri Kelautan Indonesia
petang ini berhubung isu tersebut," katanya.
Menyentuh mengenai pertemuan dua nelayan tersebut dengan ahli keluarga
mereka, Jamal memaklumkan bahawa pertemuan itu berlangsung dalam keadaab
suasana yang sedih dan pilu.
Kata Jamal, dua nelayan berkenaan turut memohon agar kerajaan dapat
menghulurkan bantuan bagi membantu nasib mereka yang dianggap teraniaya.
Mac lalu, tiga bot nelayan dan anak kapal Malaysia ditahan penguat
kuasa Indonesia ketika menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.
0 orang berkata:
Post a Comment