Ahmad Shabery: El Nino sebabkan ayam ‘stress’
KUALA LUMPUR - Bukan hanya manusia, malah ayam juga turut terkesan
dengan cuaca panas El Nino, demikian menurut Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery berkata cuaca panas yang melanda negara kini menyebabkan
ayam mengalami 'stress' yang menyebabkan proses pembesarannya terbantut.
"Ini boleh berlaku apabila ada penternak ayam yang masih menggunakan
kaedah lama iaitu kaedah reban terbuka. Apabila suhu tinggi, kadar
stress ayam akan meningkat contohnya daripada 38 hari menjadi 40 hari
untuk mencapai berat tertentu," katanya pada sesi soal jawab pada
persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib sama
ada bekalan ayam dan daging terjejas akibat cuaca panas terutama
menjelang bulan Ramadan.
Menurut Ahmad Shabery, keadaan cuaca panas akan menyebabkan pengeluaran ayam berkurangan antara lima hingga 10 peratus.
"Apabila bekalan ayam berkurangan, kita bimbang rakyat pula akan stress," katanya.
Bagi menangani keadaan itu, beliau berkata penternak ayam kini lebih
banyak menggunakan kaedah reban tertutup yang membolehkan suhu di dalam
reban dikawal.
"Untuk menghadapi bulan puasa, semua keperluan telah diatur, bermula
sekarang kadar penetasan ayam telah ditambah. Jika bekalan masih belum
mencukupi, kementerian bersedia mengimport ayam bagi memastikan harganya
stabil," katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
dalam laporan media sebelum ini memaklumkan Fenomena El Nino, yang
menyebabkan Malaysia kini mengalami panas terik dan kemarau, dijangka
berakhir pada Jun ini. –Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment