'Saya ditahan kerana berada di tempat kejadian'
PUCHONG - “Saya tidak terlibat dengan kes pembunuhan tu, saya ditahan
reman kerana kebetulan berada di lokasi kejadian,” kata seorang
perekabentuk bangunan, Lau Ka Weng, 27.
Katanya, dia terpaksa membersihkan namanya berikutan direman selama
sembilan hari dan disiasat sebagai suspek utama selepas ditahan pada 9
Mac lalu.
Dia kemudian dibebaskan pada 16 Mac lalu selepas polis mengesahkan
tidak terlibat dengan kejadian pergaduhan yang mengakibatkan kematian
seorang bekas anggota polis di Puchong Jaya, pada 29 Januari lalu.
Menceritakan kembali kejadian, Ka Weng berkata, pada hari kejadian dia
berkunjung ke sebuah unit komersil di Puchong Jaya seorang diri untuk
bermain snoker.
Dalam premis ketika itu katanya, terdapat kira-kira 40 pengunjung yang turut melakukan aktiviti sama.
Katanya, dia perasan ada berlaku pergaduhan dalam premis namun tidak
menyangka ia menjadi serius hingga menyebabkan mangsa yang cedera parah
meninggal dunia kira-kira sebulan selepas kejadian.
Dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas ditahan polis kira-kira sebulan selepas itu “Polis tahan saya selepas melihat rakaman CCTV yang menunjukkan susuk
tubuh suspek terlibat menyerupai saya. Saya kenal dengan suspek
sebenarnya yang kemudian ditahan tiga hari selepas saya direman.
“Memang saya tak terlibat dengan kes itu...selepas bermain snoker pada
hari kejadian, saya terus pulang ke rumah tanpa membuat sebarang laporan
polis untuk melindungi diri daripada dibabitkan dengan kes,” katanya.
Kakaknya, Lau Mei Teng, 30, berkata, selepas adiknya ditahan polis, dia
terus ke pejabat Adun Kinrara untuk mendapatkan bantuan serta nasihat.
“Saya rasa lega bila polis sahkan bukan adik saya dalam rakaman CCTV
kejadian pergaduhan itu, sebelum tu risau sangat kerana kes serius dan
bimbang dia akan dipenjarakan.
“Rakan dan keluarganya semua tahu dia ditahan jadi kami harap sidang
media ini dapat bersihkan namanya,” katanya yang berterima kasih kepada
pejabat Adun Kinrara kerana banyak membantu dia sekeluarga.
Sementara itu Adun Kinrara, Ng Sze Han, berkata, keluarga Ka Weng
bimbang pada awalnya kerana dia ditahan sebagai suspek dan bukan sebagai
saksi kejadian.
Katanya, Ka Weng menyangka pergaduhan berlaku dalam premis adalah
kejadian biasa dan tidak tahu ia sampai menjadi kes pembunuhan.
“Sebab tu saya nasihatkan orang awam jika berlaku perkara sebegini
depan mata mereka, segera buat laporan rasmi kepada pihak polis.
“Saya juga nasihatkan supaya sekiranya ditahan beri kerjasama kepada
polis dan tidak berselindung meskipun suspek sebenar mempunyai pertalian
keluarga, kawan dan sebagainya,” katanya.
Sze Han berkata, bagi kes Ka Weng dia mengucapkan terima kasih kepada
pegawai penyiasat terlibat kerana menjalankan siasatan secara
professional dan memberi kerjasama baik kepada pusat khidmat.
“Ka Weng kata polis beri layanan baik selama sembilan hari dia ditahan reman,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment