Parti baharu tidak beri kesan kepada BN
SHAH ALAM - Pakatan baharu lebih besar tidak akan memberi impak besar
kepada politik negara sekiranya parti-parti pembangkang di negara ini
gagal menyelesaikan perselisihan dan masalah perbezaan dasar perjuangan
mereka.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian
Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata,
pakatan mega yang bakal disertai parti baharu di bawah pengaruh bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berdepan kegagalan
seandainya wujud dua blok pembangkang.
“Jika Pas tidak sertai gabungan itu, BN tetap berdepan dua blok pembangkang yang hanya memberi kelebihan kepada mereka.
“Selagi mana Pas dan DAP tidak menyelesaikan perselisihan dasar
perjuangan dengan DAP sanggup korbankan sekularisme mereka serta Pas
tidak berupaya berubah, kehadiran parti baharu dalam pakatan pembangkang
hanyalah pertambahan parti politik baharu di negara ini,” katanya
kepada Sinar Harian.
Mengambil contoh kejayaan peralihan kepimpinan Turki di bawah Perdana
Menterinya Recep Tayyip Erdogan, Shukri berkata, perkara tersebut perlu
di contohi pembangkang sekiranya benar-benar mahu memerintah negara.
“Erdogan bawa wadah baharu, nafas baharu dan legasi baharu yang menjadi
alternatif terbaik menggantikan kepimpinan terdahulu. Sebab itu mereka
di pilih oleh rakyat Turki,” katanya.
Shukri berpendapat, PKR juga berada dalam dilema mengenai hala tuju
perjuangan membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
atau terikut dengan cara perjuangan Mahathir.
“Bagi saya campur tangan Mahathir dalam pakatan pembangkang ini hanya
akan merumitkan lagi keadaan mereka dalam situasi wujud pergelutan
antara Otai Reformis dengan pemimpin PKR.
“Begitu juga dengan isu siapa bakal menerajui pakatan pembangkang mega
yang bakal ditubuhkan menjadi perkara yang pastinya menimbulkan
perselisihan. Jika Mahathir menjadi pemimpin di sebaik tabir, mereka
perlu bersedia untuk menerima pengaruh ideologi Mahathirisme” katanya.
Ditanya, adakah kewujudan parti baharu mampu menghapuskan dominasi
majoriti undi Umno di luar bandar berdasarkan kepada pengaruh pemimpin
mereka, Md Shukri berpendapat, berdasarkan kaedah dan pendekatan semasa
pembangkang di kawasan kampung, mereka hanya boleh mengurangkan margin
undi kepada Umno.
“Umno di kawasan luar bandar mempunyai kekuatan lokaliti iaitu servis
komuniti parti tidak kira di negeri pimpinan mereka mahupun di negeri
pimpinan pembangkang.
“Berbeza dengan pendekatan pembangkang yang mengambil pendekatan
membangkitkan isu yang sememangnya mendapat tempat di hati masyarakat
bandar tetapi tidak di kawasan luar bandar,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment