15/08/13
Polis kenal pasti kawasan persembunyian lelaki pukul isteri

BUKIT MERTAJAM: Polis sudah mengenal
pasti kawasan persembunyian penjawat awam yang menghilangkan diri
selepas rakaman CCTV yang menunjukkan dia membelasah isterinya di dalam
lif tersebar di laman web sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau
Pinang, Senior Asisten Mazlan Kesah berkata, polis juga mendapat
beberapa maklumat terkini mengenai lelaki berusia 36 tahun yang bertugas
di Jerantut, Pahang itu.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh,
lelaki itu dipercayai bersembunyi di sebuah negeri tetapi bukan di Pulau
Pinang atau Pahang dan pasukan kita hanya menunggu masa untuk
menahannya.
"Kami percaya dapat menyelesaikan kes
itu dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan
program kepolisan berfrofil tinggi di sebuah rumah mangsa samun di
Kampung Belah Dua, di sini hari ini.
Rakaman CCTV yang dimuat naik dan
disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek
menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata
isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali
dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam dekat sini.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Mazlan berkata polis telah menjalankan
siasatan kes itu selepas wanita berusia 36 tahun berkenaan membuat
laporan polis pada pukul 4.40 Isnin lepas.
"Saya minta pihak yang mendakwa polis
tidak menjalankan siasatan supaya hentikan tomahan itu, kami jalankan
siasatan menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas mangsa membuat
laporan polis," katanya.
BERNAMA



0 orang berkata:
Post a Comment