Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

HASHIM LAGI TEGAS WALAUPUN DIA PAKAI BAJU WARNA PAN

‎Hashim teruskan kesinambungan kepimpinan Pas
Tuan Guru Hashim Jasin
Gambar kenangan Hashim (kanan) bersama Allahyarham Haron.
 
KEPERIBADIAN lembut dan mudah mesra menjadi nilai tambah kepadanya sehingga dipilih sebagai Mursyidul Am Pas baharu menggantikan Allahyarham Datuk Haron Din.

Namun di sebalik itu, ketegasan beliau membawa prinsip dan hala tuju parti sangat jelas. Kali pertama menjejaki kaki ke pejabatnya, penulis kagum dengan keramahannya, namun sedar beliau seorang berprinsip melalui tutur katanya.

Setiap bicara disusun dengan baik dan penuh hemah, tanpa meninggalkan kisah Rasulullah sebagai pedoman.

Ikuti wawancara khas wartawan Sinar Harian, NORJULIANA YAACOB bersama Tuan Guru Hashim Jasin setelah Majlis Syura Ulama memutuskan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas baharu menggantikan Allahyarham Haron.

Apa perkara pertama terlintas di fikiran ustaz ketika diumum Mursyidul Am Pas yang baharu?

Saya sendiri hanya sangka untuk dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas dan langsung tidak menjangkakan mengenai lantikan ini. Sememangnya saya sangat terkejut dengan amanah ini dan akan berusaha menjalankan amanah yang diberi dengan baik.

Adakah ustaz akan meneruskan rentak atau corak pentadbiran Allahyarham Haron atau mempunyai cara tersendiri untuk memimpin Pas?

Allahyarham Datuk Haron Din mempunyai aura tersendiri dan cara dia. Saya tak boleh dan tak mampu nak ikut cara dia walaupun cara dia adalah yang terbaik.

Walau bagaimanapun, kita kena ingat dalam Pas kita ada dasar. Dasar ini yang perlu kita ikuti. Jadi melalui dasar yang sedia ada ini, kita tak akan lari dari rentak asal perjuangan.

Jadi saya rasa siapa pun yang memegang jawatan ini tidak boleh lari dari dasar ini iaitu membangun bersama Islam. Berbeza dengan parti lain dasar mereka sentiasa berubah mengikut pendirian pemimpin.

Mungkin peringkat awal, boleh ustaz kongsi pembaharuan bakal dilakukan?

Sekarang ini, saya diumpamakan seperti orang yang baru sahaja berpindah rumah. Barang-barang masih lagi terabur, jadi saya memerlukan masa untuk melakukan sebarang perkara. Untuk melakukan apa sahaja perkara Pas mempunyai majlis syura dan perlu bermesyuarat supaya apa yang dilakukan tidak lari dari dasar asal Pas.

Apakah pendirian ustaz berkaitan Rang Undang-Undang 355?

Saya menyokong 100 peratus. Sebagai orang Islam kita tak boleh lari dari undang-undang ALLAH. Kita kena berusaha melaksanakan perintah ALLAH, berjaya atau tidak itu urusan lain.

Saya umpamakan seperti kita menanam. Kita usaha untuk bertanam, untuk menghasilkan buah bukan urusan kita. Kita tak boleh laksana hudud kita berusaha untuk laksanakan Rang Undang-Undang 355 iaitu perkasakan undang-undang mahkamah syariah.

Bagi saya kalau kita tak boleh buat semua yang ALLAH suruh jangan kita tinggal semua apa yang ALLAH suruh. Hukum Islam jika dilaksanakan insya-ALLAH akan mendapat rahmat-Nya.

Tumpuan utama ustaz terutama mentafsir situasi semasa politik negara yang didakwa tidak menentu dengan parti-parti baharu?

Aspek utama yang akan ditekankan ialah perpaduan. ALLAH kata di dalam al-Quran; berpegang teguh kamu dengan tali ALLAH, jangan berpecah belah. Jika Pas boleh faham perkara ini, parti lain juga perlu memahaminya juga.

Di dalam parti Pas sendiri kita ada wujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Kebanyakan ahli dalam pertubuhan ini adalah bukan Islam dan banyak terdiri daripada bangsa India dan kita mendapat sokongan yang hebat dari mereka.

Sebagai orang Islam kita perlu bersatu meskipun berbeza fahaman parti kerana matlamat utama kita adalah ajaran Islam.

Pas dilihat mesra Umno sehingga timbul tanggapan menyokong parti itu dan mahu berbaik-baik dengan Umno. Bagaimana ustaz mahu mengubah persepsi itu dan apa pendirian Pas sebenarnya?

Pas sentiasa berbaik dengan Umno dan sentiasa membuka ruang kerjasama dalam urusan melibatkan kebajikan. Kita akan sokong walaupun dari parti Umno.

Benda yang tak elok dan bertentangan dengan Islam kita tak pernah sokong Umno. Pas sentiasa berpendirian memberi pertolongan kepada Umno dengan perkara yang melibatkan kebajikan.

Maksudnya, ‘ambil langkah selamat’ dan kurang menyerang Umno contohnya mengenai skandal 1MDB?

Pas sentiasa berfikiran terbuka menerima kritikan. Kita tidak akan masuk campur dengan urusan yang tidak pasti dengan kesahihannya.

Ustaz akan kembali bertanding pada PRU14?

Saya tidak akan bertanding mana-mana kerusi. Kali terakhir saya bertanding pada PRU12 dan itu pun atas permintaan rakan-rakan seperjuangan.

Adakah Pas akan bekerjasama dengan parti lain seperti DAP dan PKR?

Dengan DAP, kami tak akan jalinkan apa-apa kerjasama lagi atas sebab-sebab tertentu. Tetapi dengan PKR, insya-ALLAH kita masih lagi bekerjasama sehingga sekarang. Untuk masa hadapan, kita tak tahu lagi dan akan pertimbangkan.

Info

Tuan Guru Hashim Jasin dilahirkan di Kampung Changkat Jawi, Arau, Perlis, pada 1 Ogos 1939.

Pendidikan awal beliau adalah di Sekolah Melayu Jelempuk selepas Perang Dunia Kedua, sebelum memasuki Madrasah Alawiyah, Arau pada 1950.

Ketika di Madrasah Alawiyah, beliau mula terdedah dengan pergerakan Islam apabila bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah, Sheikh Taqiyuddin Qandil menjadi guru.

Sheikh Taqiyuddin Qandil berperanan menggerakkan pelajar Islam di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tertubuhnya Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954, yang juga sayap pelajar Pas ketika itu.

Setelah menamatkan pengajian di Madrasah Alawiyah, beliau mulai aktif bersama Pas sehingga dilantik Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis pada 1962.

Setelah dua tahun mengetuai Dewan Pemuda Pas Perlis, beliau berundur kerana melanjutkan pengajian di Iraq. Dengan biasiswa Kerajaan Iraq, 10 pemuda Pas bertolak ke Baghdad pada 1964.

Dukung perjuangan

Penghijrahan dari Perlis ke Baghdad, rupanya memperkukuhkan lagi pengaruh Ikhwanul Muslimin ke atas beliau.

Beliau bersama pelajar-pelajar yang dihantar Pas ke Baghdad telah mengikuti tarbiah Ikhwanul Muslimin cawangan Iraq.

Pada 1963, ketika beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis.

Setelah menamatkan Ijazah Sarjana Muda syariah dan bahasa Arab di Universiti Baghdad pada 1968, Hashim kembali ke Malaysia dan aktif bersama Pas.

Beliau kemudian dilantik Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas pada 1968-1971 sebelum diberi amanah sebagai Pesuruhjaya Pas Perlis (1971-1973).

Pada mulanya, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) sejak 1969, dan kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Agama Felda mulai 1972 yang memaksa beliau meninggalkan Perlis.

Setelah Pas dipecat dari BN akhir 1977, kegiatan politik beliau mulai terbatas. Beliau berkhidmat dengan Felda sehingga bersara pada 1989. Kedudukan beliau sebagai Pegawai Felda menghalang beliau memegang jawatan utama dalam Pas.

Persaraan dari Felda membolehkan beliau aktif semula dan terus dilantik Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perlis pada 1989 dan menjadi Naib Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, sebelum memangku Ketua Dewan tersebut pada 1990.

Mulai 1991, beliau dilantik semula sebagai Pesuruhjaya Pas Perlis, sekali gus menduduki Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama Pas Pusat.

Setelah Pas memindahkan Pejabat Agungnya ke Taman Melewar pada 1987, Dewan Ulama Pas Pusat dan Dewan Pemuda Pas Pusat membeli sebahagian tanah Markas Tarbiah Pas Pusat itu atas nama beliau, dibangunkan pejabat tersebut.

Pada 1994, beliau dilantik Ahli Majlis Syura Ulama Pas, jawatan yang dipegang sehingga sekarang, walaupun beliau telah melepaskan jawatan lain sejak 2008, kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

1 orang berkata:

Anonymous said...

Pkr balaci dap dan pan. Adakah islam membenarkan kita bekerjasama dgn balaci kapir harbi?????

Tepuk dada tanya iman.
Jangan tepuk dada tanya jawatan dol!

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.