Rabu, 2 Oktober 2013
Laporan Ketua Audit Negara Buktikan Rasuah Berleluasa
Permasalahan utama yang tidak dapat dinafikan dalam Laporan Ketua
Audit Negara semalam adalah rasuah, pembaziran dan kecuaian meresap
masuk dalam kerajaan daripada peringkat bawah sehingga atas.
Bukan hanya rakyat perlu bimbang terhadap ahli politik yang rasuah
tetapi juga penjawat awam daripada atas hingga ke bawah yang terlibat
sama.
Bagaimana mahu dijelaskan terhadap hampir RM200 juta yang dibelanjakan
bagi mesin pelupusan sampah tanpa mengetahui cara mengendalikannya atau
RM3,000 untuk jam dinding atau kasut yang tidak boleh digunakan kerana
pembuatannya tidak memenuhi spesifikasi
Wang dibelanjakan dan disia-siakan begitu sahaja. Dan penyakit ini
menjangkiti setiap kementerian, syarikat berkaitan kerajaan dan
institusi di seluruh negara.
Mungkin ia tidak dapat dielakkan kerana penjawat awam menyaksikan
bagaimana ahli politik licik menipu sistem untuk selama beberapa dekad
dan melepaskan diri.
Jadi apa salahnya mereka juga melakukan perkara sama? Lagipun ia adalah
dana awam milik mereka dan patut dibazirkan sesuka hati.
Lebih membimbangkan ialah tiada seorang pun dihadapkan ke muka
pengadilan sejak bertahun-tahun kebelakangan ini bagi setiap pembaziran
dan rasuah yang berlaku.
Bilakah kali terakhir seseorang dipertanggungjawabkan kerana membuat
pembelian mesin cetak, dakwat, kasut, jam dan pengimbas yang lebih mahal
daripada harga pasaran?
Menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah dan ketua kerani mana yang
mengakui kesilapan mereka dan meletakkan jawatan untuk bersikap
tanggungjawab atas kecuaian tersebut?
Adakah mereka prihatin mengenai anggota polis yang hilang senjata atau
kereta polis hilang tanpa ada seorang pun yang dipertanggungjawabkan?
Atau wang yang masih dibayar kepada orang mati? Malah tidak mustahil
juga mereka yang sudah mati ini masih berada dalam daftar pemilih.
Adakah mereka tidak malu jam tersebut dibeli dengan harga tidak masuk
akal? Atau wang tersebut dibelanjakan tetapi hasilnya tidak nampak?Jawapan paling mudah adalah tidak.
0 orang berkata:
Post a Comment