• Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pengurusan penerimaan aset alih dan tak alih Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang diterima atau dikongsi bersama agensi lain adalah kurang memuaskan, kata Laporan Ketua Audit Negara 2012.
  
Laporan yang dibentang di Dewan Rakyat itu menyebut perkara itu termasuk usia kapal atau bot yang diterima melebihi tempoh jangka hayat, jeti yang dikongsi tidak dapat digunakan dan jeti yang diserah tidak ekonomik untuk dibaiki.
  
Laporan itu menyatakan daripada 91 kapal/bot yang diserah kepada Maritim, sembilan telah melebihi 30 tahun dan jangka hayat yang sedemikian lama boleh membawa risiko kepada pengguna kapal/bot berkenaan semasa operasi penguatkuasaan.
  
Maritim dalam maklum balasnya pada 8 Mac 2013 menjelaskan bahawa daripada 82 bot yang berusia kurang 30 tahun, sebanyak 69 kapal/bot telah siap disenggara dan beroperasi, 13 pula masih dalam senggaraan manakala sembilan kapal PX kayu serahan Pasukan Gerakan Marin sedang dalam proses pelupusan.
  
Laporan itu juga menyatakan sembilan jeti yang dikongi Maritim dengan agensi lain antaranya didapati usang dan tidak selamat digunakan, tidak sesuai kerana air cetek semasa surut dan jeti terletak jauh dari muara sungai.

Jabatan Audit mengesyorkan jeti yang diserahkan sepatutnya boleh digunakan atau dikongsi bersama supaya tidak menjejaskan operasi penguatkuasaan APMM dan dengan itu, penambahan peruntukan perlu dipertimbangkan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri.
  
Menurut laporan itu, jeti yang diserah kepada Maritim di daerah maritim Tawau tidak dapat digunakan kerana kebanyakan struktur utama seperti tiang, rasuk dan lantai konkrit telah retak dan permukaan konkrit pecah.
  
Jabatan Audit berpendapat jeti yang tidak boleh digunakan dan tidak ekonomik untuk dibaiki sepatutnya tidak diserahkan kepada APMM oleh pihak Pasukan Gerakan Marin kerana ia boleh menjejaskan aktiviti penguatkuasaan Maritim.
  
Dalam hal ini, Maritim dalam maklum balasnya berkata pertimbangan peruntukan wajar diberikan untuk pembinaan jeti baharu bagi menempatkan kapal/bot APMM supaya operasi penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. - Bernama