• Muhammad Khalil Abdul Hadi
1 / 1
SHAH ALAM - Pemuda Pas mengkritik tindakan Sister In Islam (Sis) yang mencabar fatwa pengharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga cuba mengheret badan itu ke mahkamah.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kebiadaban Sis yang mencabar pengharamannya kerana berpegang kepada liberalisme dan pluralisme agama adalah bahawa kumpulan tersebut menggerakkan agenda pemesongan ke atas ajaran Islam di negara ini.

“Malah, tindakan Sis itu mencabar institusi Raja-raja Melayu yang menjadi payung naungan Islam di negara ini serta Perlembagaan negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ia sekaligus membuktikan Sis mengetuai gerakan untuk menyebarkan ajaran atas nama Islam secara terpesong tanpa menjejak kepada sumber hukum yang nyata yakni al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas ulama,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut dan melahirkan kekesalan atas keengganan Sis untuk akur dengan keputusan berkenaan seterusnya bertaubat serta bermuzakarah dengan pihak berwajib bagi membetulkan kesilapannya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan segera kepada Sis yang disifatkan sebagai pelampau agama.

“Tindakan Sis mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang dinamakan dengan Islam.

“Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat.

“Kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama Indonesia yang memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa pengaruh sama seperti Sis di Malaysia,” katanya.

Beliau sempat menasihati masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan agenda-agenda tersebut yang sewenang-wenang mentafsir dan membentuk amalan bertentangan dari ajaran Islam.

“Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia, tetapi akan diperhitungkan di akhirat untuk ketetapan hidup kekal sama ada di syurga atau neraka,” katanya.