Jabatan Meteorologi kesan ribut tropika Mekkhala
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia mengesan ribut tropika kuat
(Mekkhala), kira-kira 1,154 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah,
jam 5 pagi tadi.
Dalam amaran kategori ketiga, jabatan itu berkata ribut yang bergerak
ke arah Barat-Barat Daya berkelajuan 15 kilometer sejam (kmsj) itu
membawa angin kencang timur laut dengan kelajuan 60kmsj dan laut
bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan
Condore, Reef North, Layang dan Palawan dan dijangka berterusan
sehingga Selasa (20 Januari).
Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan
termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut satu kenyataan jabatan itu
hari ini.
Berikutan itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran kategori kedua
dengan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60kmsj dengan
ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Samui,
Tioman, Bunguran, Reef South, Kuching , Labuan dan Sulu juga dijangka
berterusan sehingga Selasa ini.
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Jabatan itu juga mengeluarkan amaran untuk perairan di Malaysia bagi
kategori kedua dengan angin kencang timur laut berkelajuan 50-60kmsj
dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m di kawasan perairan
Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman,
Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutun Labuan juga berterusan
sehingga Selasa ini.
Menurut jabatan itu, keadaan itu selain berbahaya kepada semua aktiviti
perkapalan dan pantai juga akan menyebabkan kawasan pantai di Kelantan,
Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan
paras air laut sehingga Isnin ini (19) Januari).
Jabatan Metereologi juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut
bergelora kategori pertama yang dijangka berlaku di kawasan perairan
Sabah (Sandakan).
Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak
berketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa (20
Januari) dan keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil,
rekreasi laut dan sukan laut.
Sementara itu, jabatan itu turut menjangkakan ribut petir di perairan
Sarawak (Kuching, Mukah dan Bintulu) sehingga lewat pagi ini yang
disertai angin kencang berkelajuan 50-60 kmsj dan laut bergelora dengan
ketinggian ombak sehingga 4.5m dan berbahaya kepada semua aktiviti
perkapalan dan pantai.
Keadaan yang sama dijangka turut berlaku di perairan Selangor dengan
angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian
ombak sehingga 3.5m. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment