• Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Bilik Media, Pejabat Agung Pas, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama  
Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Bilik Media, Pejabat Agung Pas, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Bukan isu besar jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepadanya pada 10 Februari ini.
 
Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata nasib Anwar juga tidak akan menjejaskan kedudukan Pas dalam PR malah ia akan menguatkan kerjasama politik mereka sebagaimana sewaktu Barisan Alternatif sebelum ini.
 
"Kedudukan Pas dalam PR lagi kukuh kalau Anwar dipenjarakan.
 
"Soal Pas mahu keluar dari PR tidak berbangkit sebab masa dalam Barisan Alternatif pun Anwar tiada, masa itu ada Kak Wan...ada Azmin, kita bekerjasama dengan parti, bukan orang," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon semalam yang mengatakan Pas akan meninggalkan PR jika Ketua Umum PKR itu dipenjara pada 10 Februari ini apabila penghukuman rayuan kes liwatnya diketahui.
 
Beliau juga berkata Anwar merupakan tokoh yang mengikat pakatan itu walaupun kini ketiga-tiga komponen parti itu dilihat bertelagah sesama sendiri.
 
Terdahulu, isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang menjadi perbahalahan besar antara Pas dan DAP negeri itu yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan negara.
 
Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendapat kritikan rakan komponen PR apabila tindakannya itu tidak mendapat restu dan persetujuan pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti pembangkang itu.