• Masthead Sinar Harian berubah wajah. Masthead Sinar Harian berubah wajah.
1 / 1
IPOH - Pemuda Umno Perak menyambut baik cadangan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggesa supaya kerajaan campuran diwujudkan antara Pas dan Umno di Kelantan untuk memulihkan kembali keadaan negeri itu yang dilanda banjir teruk.

Ketua Pemudanya, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, usaha untuk membangunkan kembali Kelantan akan menjadi lebih cepat dan lancar sekiranya usaha tersebut dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ia akan memudahkan Kerajaan Negeri Kelantan mendapatkan bantuan kewangan secara terus daripada kerajaan Pusat bagi membaik pulih kerosakan akibat bencana banjir,” katanya.

Menurutnya, langkah pemulihan dan bantuan pasca banjir juga akan lebih tersusun selain dapat digerakkan secara efektif sekiranya kedua-dua parti terbesar kaum Melayu itu dapat ‘duduk bersama’.

“Saya yakin jika ada penyatuan bersama ianya (proses pemulihan) dapat dibuat secara efektif walaupun kemusnahan akibat banjir pada kali ini berskala besar,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, kekuatan dan kepentingan bangsa Melayu itu secara tidak langsung akan bertambah dengan penyatuan di antara Pas dan Umno di Kelantan. 

“Secara tidak langsung, kerjasama politik itu akan meningkatkan kekuatan dan kepentingan orang Melayu di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, kerajaan Pusat seharusnya membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membolehkan proses pembangunan semula di negeri itu segera dilaksanakan.

“Sekiranya wang royalti petroleum dibayar kepada Kelantan, saya fikir itu sudah cukup untuk membangunkan semula Kelantan,” katanya.

Raja Ahmad berkata, pembentukan kerajaan campuran itu dirasakan tidak perlu memandangkan kedua-dua kerajaan mempunyai peranan yang tertakluk di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Tidak perlu hingga ke tahap itu dan bagi saya baik kerajaan Pusat atau negeri, mereka ada peruntukan dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.