• Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM – Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar Kementerian Pertahanan menjelaskan soal hukuman buang kerja yang dikenakan ke atas Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad oleh Mahkamah Tentera, Isnin lalu.

Menurutnya, keputusan tersebut disifatkan zalim bagi seorang pegawai yang telah berkhidmat selamat 26 tahun.

“Saya menuntut penjelasan Kementerian Pertahanan mengenai hukuman ke atas Mejar Zaidi yang membawa kepada penamatan perkhidmatan serta merta.


“Ini ternyata satu keputusan yang zalim ke atas beliau yang telah berkhidmat selama 26 tahun, dikenakan pula atas satu kesalahan yang mendorong kepada kesedaran awam atas kepincangan sistem pilihanraya melalui penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, “Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terus membisu tanpa pembelaan ke atas dakwaan beliau. Pendedahan peguam Hanipa Maidin mengenai kepincangan prosiding Mahkamah Tentera harus diberi perhatian serius.”

Sebelum ini, Mejar Zaidi didakwa melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961 dengan membuat kenyataan media untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran angkatan tentera dan Kementerian Pertahanan, di perkarangan Balai Polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013.

Dia turut didakwa mendedahkan kepada akhbar maklumat kawat tumpangan keluar (surat pertukaran kerja) sebagai penyelidik ke Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei tahun sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melanggar para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat).