• Nik Nazmi Nik Ahmad Nik Nazmi Nik Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM – Angkatan Anak Muda Keadilan (AMK) menganggap sebarang perselisihan antara Pemuda Pas sudah selesai.
 
Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berikutan kerjasama baik yang diperoleh dari Pemuda Pas bagi membantu kemenangan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pilihan Raya Kecil  (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
 
“Saya anggap semua masalah sudah selesai. Tidak ada perkara yang perlu dibangkitkan lagi. Saya tengok Pemuda Pas pun sudah batal boikot, jadi tidak perlu timbul perkara sebegini.
 
“Saya dengan Suhaizan Kaiat (Ketua Pemuda Pas) pun baik-baik sahaja. Tidak bermasam muka ketika bertemu dan masih boleh bertegur sapa dengan mesra ketika berjumpa,” katanya ketika ditemui Sinar Online sebelum bermulanya Ceramah Grand Finale Kita Lawan GST di Padang Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, malam tadi.
 
Pemuda Pas Pulau Pinang pada kelmarin dilaporkan membuat pusingan U dan mengumumkan  akan menggerakkan jenteranya dan turun berkempen dalam PRK Permatang Pauh.
 
Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah berkata langkah itu diambil bagi memastikan kerusi parlimen itu tidak jatuh kepada BN yang dianggap musuh politik PR.
 
[Artikel berkaitan: Pemuda Pas batal boikot tapi gesa AMK mohon maaf]
 
Sementara itu, Nik Nazmi sebaliknya enggan mengulas mengenai desakan terhadap AMK Pulau Pinang memohon maaf atas kenyataan mereka terharap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
“Perkara itu saya anggap sudah selesai. Mereka (Pemuda Pas) pun sudah janji untuk bantu kemenangan Kak Wan di Permatang Pauh. Tidak ada apa-apa yang harus diulas,” katanya lagi.