Najib masih tak jawab soalan, kata Tun M
PUTRAJAYA - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
menyenaraikan 13 isu dan tuduhan terhadap beliau serta kerajaan semalam
jelas tidak menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, segala
penjelasan Najib mengenai semua perkara yang dibangkitkan sebelum ini
termasuk melibatkan kes Altantuya, 1MDB serta pesawat langsung tidak
menjawab apa-apa.
“Saya dah baca (13 isu yang dijawab Najib). Ia tak menjawab apa-apa.
Semua yang dia (Najib) sebut...‘kes Altantuya adalah kes lama kenapa
bangkitkan semula?’ Ia mungkin kes lama tapi hukuman mati itu sekarang.
Anda mahu membunuh orang-orang yang menurut perintah. Itu salah. Sebab
itu saya bangkitkan.
“Tapi dalam isu lain, tunggu hingga keluar laporan Ketua Audit Negara .
Itu bukan jawapan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kes dah disiasat, kenapa nak dengar cakap Sirul?]
Awal Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung
sampai mati terhadap Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri setelah
disabitkan bersalah membunuh model sambilan, Altantuya Shaaribu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir sempat mengulas soal keselamatan di Sabah
di mana rakyatnya terdedah dengan penculikan namun kerajaan tidak dapat
menangani situasi itu sebaliknya telah membeli sebuah pesawat mewah.
“Kemudian (dia) bercakap soal pesawat, dia kata pesawat itu dibeli
untuk keselamatan. Adakah pesawat itu mempunyai keselamatan untuk Sabah?
Orang Sabah kena culik.
“Orang luar menceroboh negara, itu masalah keselamatan. Apa yang kerajaan buat tentang itu?...beli pesawat mewah,” katanya.
Khamis lalu, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di
Sandakan dan menculik seorang lelaki serta seorang wanita namun sehingga
kini masih tiada panggilan atau tuntutan wang tebusan dibuat.
0 orang berkata:
Post a Comment