• Mohd Azizuddin Mohd Sani
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pemerhati melihat saingan sengit antara kedua-dua calon Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz dan Suhaizan Kaiat susulan iklim politik dalaman Pas yang dilihat lebih dikuasai golongan ulama.

Namun, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, kelebihan dilihat berada di pihak Nik Abduh.

“Nik Abduh sekarang ini mendapat sokongan ulama yang konservatif sementara Suhaizan mendapat sokongan daripada golongan ulama yang lebih ‘moderate’ dan profesional. Jadi, sukar untuk tentukan siapa yang menang. Kerana kedua-duanya ada kekuatan.

“Tapi nampaknya sekarang ini kelebihan ada pada Nik Abduh. Pertama dia anak Allahyarham Nik Aziz dan kedua, dia mendapat sokongan ulama yang dilihat agak dominan dalam Pas,” katanya kepada Sinar Online.

Pemilihan Muktamar ke-61 Pas awal Jun depan menyaksikan Nik Abduh kembali ke Pemuda Pas merebut jawatan itu dari penyandangnya, Suhaizan.

Meskipun begitu, beliau melihat Suhaizan masih ada potensi untuk mempertahankan kedudukannya.

“Cuma, Nik Abduh ini dilihat bermasalah dengan Nik Amar (Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk MohdAmar Nik Abdullah). Ada ‘clash’ sedikit antara kumpulan Nik Amar dengan Nik Abduh. Bimbang sebahagian kumpulan yang ulama ini tidak mengundi Nik Abduh. Itu yang agak sukar untuk diramalkan.

“Tapi potensi untuk menang masih ada lagi pada Suhaizan. Strategi Suhaizan kena hebat sedikitlah kalau dia nak menang,” katanya.

Sementara, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir menyifatkan calon yang mempunyai pemikiran selari dengan kepimpinan tertinggi parti mempunyai kecenderungan untuk menang dalam pemilihan kali ini.

“Saya fikir penyandangnya itu masih ada harapan tapi yang dilihat betul-betul memperjuangkan perjuangan yang di atas landasan parti...yang serasi dengan kepimpinan tertinggi akan menang.

“Jadi, siapa yang dilihat ada pendirian, ideologi dan pandangan yang sesuai dengan kepimpinan tertinggi parti, calon itu saya fikir ada mempunyai peluang lebih cerah,” katanya.