PBAHB sahkan cek RM2.5 juta palsu
- (Dari kiri) Joyce, Jaseni dan Pengarah PBAHB, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menunjukkan laporan polis dan salinan laman Facebook yang memuatnaik gambar cek palsu berkenaan
GEORGETOWN - Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang
(PBAPP), Ir Jaseni Maidinsa mengesahkan cek yang dikeluarkan oleh PBA
Holdings Bhd (PBAHB) berjumlah RM2.5 juta dua hari lalu adalah palsu.
Menurutnya, cek yang ditulis di atas nama Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau
Pinang, Mohd Yusni Mat Piah itu jelas palsu kerana ia bertarikh 29 Mei
2015.
Beliau turut menafikan ada menandatangani sebarang cek berjumlah RM2.5 juta sebelum ini.
Sehubungan dengan itu, beliau bersama bekas pengurus kewangan PBAHB,
Joyce Lee membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut
(IPDTL) tadi.
"Perkara ini serius kerana ia menjejaskan nama baik PBAPP selain mereka
menggunakan tandatangan saya,Joyce dan Pengerusi PBAPP, Lim Guan Eng.
Lebih mengecewakan, Joyce sudah ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan
Korporat PBAPP pada 1 Mac lalu dan dia tidak ada kuasa untuk
menandatangani sebarang cek PBAHB selepas daripada tarikh itu.
"Saya tidak tahu motif pihak yang berbuat demikian. Saya juga tidak
mahu komen berunsur politik kerana saya bukan ahli politik. Biar polis
sahaja yang menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui media di
hadapan IPDTL tadi.
Semalam, cek dikeluarkan PBAHB yang ditulis di atas nama Mohd Yusni
dengan jumlah RM2.5 juta menjadi viral di laman sosial termasuk Whatsapp
dan Facebook.
Cek yang ditandatangani oleh Jaseni, Joyce dan Guan Eng itu dikatakan
dikeluarkan selepas kenyataan pusingan U yang dibuat Mohd Yusni
berhubung sokongan Pemuda Pas Pulau Pinang kepada calon PKR untuk PRK
Permatang Pauh.
0 orang berkata:
Post a Comment