Mat Sabu minta Pas kenang jasa
KOTA BHARU - “Saya tidak akan lantik peguam untuk tuntut harta
sepencarian,” itu sindiran Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad
Sabu atau Mat Sabu kepada bekas rakan seangkatannya dalam parti Pas.
Menurutnya, walaupun kini beliau dipandang ‘kecil’ di mata Pas, namun
jasa dan pengorbanan beliau sewaktu berada di dalam parti Islam itu
selama 37 tahun seharusnya dikenang parti Islam itu.
“Saya sekarang kalau tengok markas Pas, air mata masih mengalir, bukan
senang untuk ke wadah Islam, tapi bot lain, kapal lain, sebab markas
mana yang saya tidak ceramah untuk kutip derma, semua saya pergi. Sampai
ada satu masa itu, kaset saya mengatasi jualan kaset Ning Baizura.
“Tetapi kawan-kawan, adik-adik ini kasar, mereka bersikap macam halau
kita, saya kata saya tidak ambil peguam pun untuk tuntut harta
sepencarian. Kalau saya tuntut, banyak mana pun tak tahu. Segala khidmat
dan segala bentuk jasa serta pengorbanan itu kita tidak ungkit dan
halalkan semuanya,” katanya semasa menyampaikan ceramah sulung Parti
Pekerja Malaysia di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Salahuddin Ayub, aktivis DAP, Young
Syefura Othman atau Rara Othman, bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid
Ibrahim dan barisan pemimpin utama Parti Pekerja Malaysia.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan asam garam politik di Malaysia
dan beliau masih optimis dengan penganjuran Bersih 1.0 sehingga 4.0,
matlamat utama untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang
tetap menjadi pemangkin parti baru yang ditubuhkan itu.
Bekas Timbalan Presiden Pas itu juga berkata, walaupun wujud insiden
memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang, namun itu bukan salah satu acara dalam
penganjuran Bersih 4.0.
“Dalam himpunan itu ada macam-macam. Saya cukup tidak setuju dengan apa
yang berlaku, saya cukup marah dengan insiden tersebut, tidak kira lah
gambar Datuk Seri Najib ataupun Tok Guru Haji Hadi, saya tidak setuju.
“Saya amat sedih dengan perkara ini, perkara yang sama juga berlaku
apabila gambar saya dan beberapa kepimpinan lain dipijak oleh pemuda
kita, masa itu tidak muncul pun pahlawan yang membela. Mereka tidak kata
apa-apa. Ada pun anak muda itu, semasa saya di tahan di ISA, mereka pun
belum wujud lagi,”katanya.
Mat Sabu juga turut menasihati rakan seperjuangannya untuk terus
menjadikan kepimpinan dan ketokohan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz
sebagai contoh terutamanya dalam mengendalikan kemelut perbezaan
pendapat antara parti komponen.
“Walaupun mendiang Karpal Singh mempunyai pendapatnya sendiri mengenai
pelaksanaan hudud, namun arwah Tok Guru mengambil sikap positif untuk
tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan pemberian kek hari jadi dan
sebagainya supaya hubungan itu masih kekal walaupun berbeza pendapat.
Tetapi kita sekarang, gaduh sikit, bercerai,”katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang diadakan selepas ceramah, beliau
turut berkongsi harapannya untuk mencapai 50,000 keahlian dalam parti
baru itu menjelang tarikh perasmian pada 16 September ini.
“Sambutan di luar jangkaan, kita pun masih belum dapat jumlah keahlian
yang berdaftar sejak kelmarin kerana borang kini sedang giat diagihkan.
Kami juga masih belum berbincang sama ada mahu bertanding di pilihan
raya ataupun tidak,” katanya.
Mat Sabu ketika diminta mengulas mengenai isu bai’ah bagaimanapun tidak
memberi sebarang komen dan tidak memberi gambaran jelas jumlah
keseluruhan keahlian Pas yang bertukar ke parti itu.
0 orang berkata:
Post a Comment