Bukan mesyuarat untuk pecat Muhyiddin
BATU PAHAT - Berita berkaitan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang
akan membincangkan nasib beberapa pemimpin kanan parti itu adalah tidak
benar.
Mesyuarat berkenaan yang dijadualkan Rabu depan itu akan membincangkan pemecatan atau menggantung keahlian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, khabar angin berkenaan bukan saja tidak berasas malah beliau sebagai Naib Presiden masih belum mengetahui agenda yang akan dibincangkan.
Katanya, tindakan terbabit hanyalah khabar angin yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, selain mahu memburuk-burukkan Umno.
"Jika ada pihak tertentu yang mahu terus percaya khabar angin berkenaan, terpulanglah tapi saya sendiri pun masih tidak tahu apa agenda mesyuarat itu nanti, namun saya yakin ia untuk menguatkan parti.
"Mesyuarat berkenaan juga satu mesyuarat tertutup dan apa saja agenda yang dibincangkan juga tidak perlu dibincangkan umum, jadi saya nasihatkan tidak perlulah sebar khabar angin yang bukan-bukan seperti ini," katanya semasa merasmikan Minggu Haluan Siswa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Sementara itu, di Kuala Lumpur, Wanita Umno juga menafikan penyebaran senarai kepimpinan parti itu yang bakal dipecat itu.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, senarai yang tersebar di laman sosial tersebut cumalah khabar angin dan tidak benar sama sekali.
"Tiap-tiap hari, saya dapat senarai (pemecatan ahli) Umno. Esok, saya dapat senarai yang lain pula," katanya pada sidang media selepas pertemuan di antara Wanita Umno dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Justeru itu, beliau meminta supaya masyarakat jangan mempercayai senarai yang disebarkan itu.
Semalam, tersebar satu senarai di laman sosial yang mengatakan beberapa Ahli Majlis Tertinggi Umno yang bakal dipecat pada 9 September ini.
Di antara pemimpin yang bakal dipecat ialan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
0 orang berkata:
Post a Comment