BN belanja RM1.5b: SPR tiada kuasa siasat
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti dakwaan yang
dibuat oleh Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Rasah,
Teo Kok Seong secara menyeluruh memandangkan ia melibatkan kuasa
siasatan yang tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, seperti yang
dinyatakan sebelum ini, SPR tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk
membuat siasatan terhadap sesebuah kes sekiranya ia melibatkan parti.
Menurutnya, kuasa SPR hanya terhadap calon yang bertanding dan juga dalam tempoh masa berkempen sahaja.
“Apa yang ditimbulkan oleh ahli parti terhadap perbelanjaan pilihan
raya merupakan urusan parti dan SPR tidak wajar dikaitkan kerana
perjalanan sesebuah parti berdaftar dalam urusan perbelanjaan adalah di
bawah Akta Pertubuhan dan sebagainya malah bukan di bawah perundangan
pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Siasat dakwaan BN guna RM1.5b untuk PRU13]
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan yang
dibuat oleh Wei Aik dan Kok Seong yang mendakwa SPR tidak mengambil
perhatian terhadap laporan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri
Najib Razak yang didakwa telah membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion
semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Mohd Hashim berkata, perkara yang sama pernah ditimbulkan oleh
parti-parti lain sebelum ini malah PKR juga telah mengheret SPR ke
mahkamah berhubung isu tersebut.
“Keputusan Mahkamah Tinggi telah memihak kepada SPR dan tiada kesalahan
dari segi undang-undang pilihan raya dalam pengendalian PRU13 lepas.
“Petisyen pilihan raya juga telah difailkan oleh calon yang bertanding dan telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hashim memaklumkan bahawa SPR telah melalui proses
perundangan berkaitan pilihan raya dan pihak berkepentingan juga telah
mendapat keadilan sepenuhnya di Mahkamah Pilihan Raya.
Tambah beliau, SPR perlu berhati-hati supaya tidak melampaui bidang
kuasa yang diberikan bagi menggelakkan dari menyentuh bidang kuasa badan
lain yang mempunyai kuasa menyiasat secara menyeluruh.
0 orang berkata:
Post a Comment