Pereka grafik mengaku salah kes aib Sultan Johor
BATU PAHAT – Pereka grafik, Md Aris Husin, 40, dijatuhi hukuman penjara
selama empat bulan setelah mengaku bersalah mengaibkan Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menggunakan jari tengah kanannya.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azuar Che Yusof menjatuhkan hukuman
terbabit apabila pereka grafik itu yang diwakili peguam, Mohd Hezri
Shahril, melakukan kesalahan berkenaan pada 20 Disember lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Aris melakukan kesalahan berkenaan
dengan menunjukkan isyarat lucah itu dengan niat, di Kilometer 95,
Lebuhraya Utara Selatan (Plus), arah Selatan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isyarat lucah: Pereka grafik tidak mengaku bersalah]
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.20 pagi, yang turut disertai
rombongan Sultan Johor, tertuduh telah dilihat melakukan perbuatan
berkenaan daripada kereta yang dipandunya.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika
sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda
atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan
Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya,
Mustaqim Sukarno.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dibacakan peguam ketika prosiding
berlangsung, tertuduh merafak sembah memohon keampunan daripada Sultan
Ibrahim di atas ketelanjurannya.
Tertuduh juga merayu untuk diringankan hukuman kerana mempunyai
tanggungnya dan dia seluruh ahli keluarganya mengharap pendapatan
daripadanya.
"Saya memohon ampun dan maaf kerana perbuatan saya melukakan hati
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat Johor secara
keseluruhannya.
“Saya juga benar-benar insaf di atas ketelanjuran ini dan dengan rendah
hati memohon ampun kepada Tuanku dan berjanji tidak akan mengulanginya
lagi," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment