Pas yakin BN menang dua pertiga di Sarawak
KUALA TERENGGANU - Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya
mengekalkan kuasanya di Sarawak dan meraih majoriti dua pertiga pada
Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, BN dilihat
masih memikat hati pengundi Sarawak selain mampu menyelesaikan isu
tempatan terutama di kawasan luar bandar.
"Saya rasa BN akan terus memerintah Sarawak dan akan menang dua pertiga
majoriti dalam PRN11 nanti, mungkin ada kawasan yang akan kalah, tetapi
saya yakin BN akan terus kekal di Sarawak," katanya pada sidang media
di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.
Mustafa berkata, Pas melihat masyarakat Sarawak lebih menumpukan kepada isu tempatan berbanding isu nasional.
Selain itu, beliau berkata, faktor kepimpinan yang ditonjolkan Ketua
Menterinya, Datuk Seri Adenan Satem dalam pentadbiran kerajaan negeri
memberikan keyakinan kepada rakyat.
"Datuk Seri Adenan Satem ini mempunyai feel good factor, lagi boleh menang di Sarawak," katanya.
Mengenai isu menteri besar Terengganu, Mustafa berkata, pilihan terbaik kini ialah mengadakan pilihan raya negeri.
Beliau mendakwa tindakan menukar Ahmad Razif Abdul Rahman (menteri
besar) bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan menimbulkan masalah
berterusan dan BN bukanlah memiliki majoriti yang besar.
Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat Pas tidak campur tangan dalam isu berkenaan.
"Pas menyerahkan kepada BN sehingga habis penggal dan biarlah mereka
sendiri yang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, kami tidak mahu
campur tangan," katanya. - Bernama
1 orang berkata:
Kenapa pengarah pilihanraya PAS berkeyakinan pada BN? Adakah PAS sudah menjadi komponen BN? Atau PAS sudah angkat bendera putih sebelum bertanding? Inilah yang tinggal dalam PAS sekarang, mereka berjuang bukan demi keadilan atau rakyat tetapi semata-mata untuk menjadi populis. Semoga PAS sedar dan yakin setiap perjuangan demi keadilan dan rakyat akan diberkati oleh Allah.
Post a Comment