SHAH ALAM –Syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Lembaga Pengarahnya telah menawarkan peletakan jawatan kepada Kementerian Kewangan, pagi tadi.

Melalui satu kenyataan media, 1MDB memberitahu keputusan sukar itu diambil susulan pihaknya percaya ia sebagai tindakan yang betul pada situasi ini.

“Berdasarkan hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100 peratus pemegang saham 1MDB.

“Ia bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Hari ini,hasil siasatan PAC ke atas 1MDB yang dibentangkan mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu kurang memuaskan yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Dalam kenyataan sama, 1MDB yang mengambil maklum isi kandungan laporan itu turut menekankan bahawa laporan PAC tersebut turut mengesahkan syarikat itu tidak memindahkan RM 2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang telah didakwa sebelum ini.

“Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes ‘RM42 bilion hilang’, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Lembaga Pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen menyeluruh dan muktamad yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat,” katanya.

Menurut 1MDB, pihaknya dapat memahami bagaimana Jabatan Audit Negara dan PAC telah mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan oleh syarikatnya itu.

“Namun adalah penting untuk difahami bahawa keputusan-keputusan yang dibuat ketika itu adalah dalam konteks transaksi yang spesifik pada masa tersebut. Tambahan pula, 1MDB merupakan sebuah syarikat yang kompleks dan mempunyai peranan yang pelbagai dalam menjalankan projek-projek strategik berskala besar, mewujudkan kerjasama dengan entiti-entiti kerajaan asing dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

“Pihak umum sedia maklum bahawa 1MDB hanya mempunyai ekuiti tunai sebanyak RM 1 juta, yang memerlukan syarikat membuat pergantungan besar kepada pinjaman untuk membiayai pelaburannya.

“Meskipun berdepan cabaran ini, Lembaga Pengarah telah membuat yang terbaik untuk menguruskan syarikat dengan cara yang tidak akan mengakibatkan beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Jelasnya, sebaik sahaja ketidakpadanan aliran tunai dikenal pasti pada November 2014, Lembaga Pengarah bertindak segera untuk melantik seorang pakar penstrukturan semula profesional untuk mengetuai 1MDB.

“Ini membawa kepada perlaksanaan kajian strategik yang seterusnya membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan yang telah menyelesaikan beban hutang 1MDB.

“Syarikat telah membayar dan akan terus membayar kesemua hutang jangka pendek dan kesemua hutang bank dengan hasil yang diperoleh daripada penjualan Edra dan ketika ini mempunyai lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion yang akan diperuntukkan untuk membayar kadar faedah dan keperluan kewangan infrastruktur,” katanya.