Pas harap Gabenor BNM baharu tegas isu 1MDB
SHAH ALAM - Pas berharap Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu
dilantik, Datuk Muhammad Ibrahim bersikap tegas dalam menyelesaikan
kemelut melibatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tugas besar
menanti Muhammad atas pelantikan itu selain menjadi fokus rakyat bagi
melihat perjalanan 1MDB yang masih bergelut dengan pelbagai isu yang
sentiasa muncul.
“Sebagai Timbalan Gabenor yang paling senior di bawah Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz, Pas percaya beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan
berkesan dan membetulkan perjalanan kewangan negara agar menepati
kehendak syarak,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad, 56, yang kini Timbalan Gabenor dilantik mengetuai BNM selama tempoh lima tahun, berkuat kuasa 1 Mei 2016.
[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Ibrahim dilantik Gabenor BNM baharu]
Beliau merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2010 lalu dan merupakan lulusan dari Universiti Havard, Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan sama, Tuan Ibrahim mengucapkan tahniah dan takziah
kepada Zeti yang telah berkhidmat selama 16 tahun dan akan bersara pada
hujung bulan ini.
“Pas juga tahu tidak mudah bagi pelantikan Muhammad Ibrahim sebagai
Gabenor BNM berlaku jika Tan Sri (Zeti) tidak mendesak dan mendesak
kerajaan dengan pelbagai peringatan melalui media bahawa pelantikan
Gabenor BNM mestilah bukan dari kalangan ahli politik.
“Selamat bersara bagi Tan Sri Zeti dan selamat bertugas bagi Muhammad
Ibrahim. Semoga kalian sentiasa dalam bimbingan Ilahi,” katanya.
1 orang berkata:
Dia nak bg jelous org yg tak ada rambut ha ha.jgn jd tikus membaiki labu sudah.sbb nila setitik rosak susu sebelanga sbb 1mdb rosak 1malaysia
Post a Comment