Kehadiran Muhyiddin bakal beri manfaat besar
PETALING JAYA – Penyertaan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri
Muhyiddin ke dalam mana-mana parti sedia ada di negara ini bakal
memberikan manfaat dan kelebihan yang besar buat parti itu.
Ini kerana menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin
Abdullah, Muhyiddin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir dan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mempunyai
pengaruh dan kelebihan masing-masing.
“Kami bersifat terbuka, bagaimanapun kami menghormati ketokohan mereka
dan lazimnya, soal jemput-menjemput ini kita tidak sebut dalam media,
kita hanya nyatakan bahawa kami terbuka menerima mereka.
“Bagi kami dalam Pakatan Harapan, kami bersedia menerima Muhyiddin,
Shafie dan Mukhriz bagi menyertai kami,” katanya ketika ditemui Sinar
Online selepas berakhirnya sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan
di Pejabat PKR, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Naib Presiden
Pas, Datuk Iskandar A Samad baru-baru ini ketika mencadangkan Muhyiddin,
Mukhriz dan Shafie Apdal menyertai parti sedia ada yang sudah pun
mempunyai tapak kukuh di negara ini.
Iskandar berkata, suasana politik terutamanya di Semenanjung
menunjukkan rakyat amat payah untuk memberi sokongan kepada parti-parti
baharu.
“Selain dari BN dan parti-parti utama pembangkang, amat payah bagi
parti-parti lain untuk mendapat sokongan yang meluas atau sokongan yang
berterusan.
“Sebelum ini kita pernah melihat parti-parti lain ditubuhkan seperti
Berjasa, Hamim, Berjasa dan Nasma tetapi mereka gagal mendapat sokongan
ramai dan telah tenggelam atau terus hilang dari perhatian rakyat,”
katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini.
0 orang berkata:
Post a Comment