Putus kaki dilanggar motosikal
GEORGETOWN - Seorang wanita warga Indonesia putus kaki kirinya
dipercayai dilanggar sebuah motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Tun
Dr Lim Chong Eu awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash
Wahid berkata, kejadian berlaku di lampu isyarat simpang empat di lebuh
raya berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa yang
berusia 44 tahun dilanggar ketika sedang melintas jalan dari arah Gat
Lebuh Macallum ke Jalan Gudwara.
"Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan yang tinggal di Jalan
Gudwara di sini dilanggar sebuah motosikal jenis Kawasaki di
persimpangan itu.
"Kejadian berlaku ketika motosikal yang ditunggangi seorang lelaki dari
arah Pengkalan Weld ke arah Lebuh Cecil terlanggar dengan mangsa yang
sedang melintas dari arah Gat Lebuh Macallum ke Jalan Gudwara.
"Siasatan juga mendapati motosikal berkenaan mengheret mangsa sehingga
menyebabkan kaki kiri mangsa terputus di tempat kejadian manakala
penunggang motosikal terbabas dan dipercayai turut cedera. Wanita
berkenaan dalam keadaan sedar telah dibawa bersama kakinya yang putus ke
Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut," katanya.
Mior Faridalathrash berkata, kaki mangsa berkemungkinan besar tidak dapat disambung semula berikutan urat sarafnya hancur.
"Polis masih mengesan penunggang motosikal itu yang dipercayai dibawa
ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun,
motosikalnya berada di tempat kejadian.
"Tiada kamera litar tertutup (cctv) di tempat kejadian namun siasatan
masih dijalankan untuk mendapatkan keterangan dari penunggang motosikal
berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan
Jalan 1987," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment