Parti baharu pembela baharu Melayu
SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin parti baharu yang bakal
diwujudkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
pengasasnya mampu menghapuskan dogma orang Melayu bahawa Umno sahaja
pembela nasib bangsa itu.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, parti baharu itu ada
pengalaman dan strategi tersendiri dalam usaha mendekati masyarakat
Melayu terutama yang di kampung.
“Umum tahu Umno ada sokongan majoriti di kampung kerana benih-benih
dogma yang ditanam kononnya mereka sahaja mampu menyelamatkan Melayu
daripada pembangkang yang didakwa akan mengorbankan keistimewaan kaum
itu dan parti – parti pembangkang lain menjadi barua kepada DAP.
“Pemimpin seperti bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Yassin; Datuk Seri Shafie Apdal (bekas Naib Presiden Umno) dan Datuk
Seri Mukhriz Mahathir (bekas Menteri Besar Kedah) adalah individu yang
cukup faham ideologi Umno di kawasan-kawasan desa.
Saya yakin mereka ini
mampu mengubah persepsi masyakat kampung terhadap pembangkang,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, Amanah tidak mempunyai sebarang masalah menjalinkan kerjasama
dengan bekas pemimpin-pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Memandangkan kita telah bekerjasama dengan Mahathir dalam Deklarasi
Rakyat, saya rasa setakat ini kita tidak mempunyai masalah kerana tujuan
dan hasrat kita adalah sama iaitu menyingkirkan Najib.
“Saya tidak rasa kewujudan parti baharu ini juga bakal menggugat
kedudukan parti-parti pembangkang sebaliknya memberi ancaman kepada
kedudukan BN. Ia juga menambah kekuatan pembangkang di samping
meyakinkan rakyat bahawa pembangkang adalah alternatif kepada BN untuk
memerintah negara ini,” katanya.
Ditanya bagaimana pembangkang mampu mengumpul kekuatan dan menjadi
pakatan pembangkang yang kuat jika Pas enggan sertai kerjasama baharu
itu, Salahuddin berkata, perkara itu terpulang kepada Pas jika
benar-benar mahu menumbangkan Umno.
“Kita (Amanah) terbuka untuk berbaik dengan mana-mana pihak yang mahu sertai pakatan pembangkang ini.
“Kalau Pas tidak mahu menyertai pakatan ini, mereka akan terpinggir dari arus politik perdana,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas
tiada halangan bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk parti baharu
dengan syarat tidak menghalang perjuangan Islam, tidak merugikan agama
Islam dan umat Islam serta semua rakyat di negara ini.
1 orang berkata:
Terbaik TGHA .. Mmg mantap
Post a Comment