'Umno bukan lagi pejuang negara’
KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui
beliau kini terpaksa menerima hakikat bahawa Umno bukan lagi parti yang
berjuang untuk negara dan orang Melayu.
Walaupun sedih dengan keadaan melanda Umno dan BN kini, satu usaha
untuk memulihkan kepincangan yang berlaku pada negara perlu dilakukan
dengan segera.
“Parti ini (Umno) mesti dikalahkan dan kita perlu parti yang lebih
kuat daripada Umno. Saya sayang Umno, sebab begitu lama saya berada
dalam Umno dan apabila Datuk Seri Najib (Tun Razak) buat benda yang
tidak baik, saya fikir pada mulanya mahu singkirkan sahaja perdana
menteri dan kita selamatkan Umno.
“Tetapi itu pada mulanya. Kini saya dapati Umno juga sudah tidak boleh
diselamatkan. Kenapa? Sebab pemimpin mereka sudah tidak jadi pemimpin,
mereka tidak boleh bersuara apa-apa pun, mereka ikut saja,” katanya
ketika ceramah Bicara Rakyat di Ketereh, kelmarin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali juga turut hadir dalam majlis itu yang dihadiri lebih
3,000 masyarakat sekitar.
Beliau berkata, walaupun sedih dan kecewa, tetapi ia tetap tidak boleh
mengatasi perasaan tanggungjawab kepada negara apabila melihat mereka
yang terlibat menyeleweng dan tidak lagi patuh pada asas perjuangan Umno
dan BN.
“Semua parti lawan mestilah bekerjasama supaya wujudnya pertandingan
satu lawan satu. Ada orang tanya saya, macam mana ni Tun Mahathir mahu
kerjasama dengan Lim Kit Siang, kerjasama dengan parti lawan, sedangkan
saya dulu kecam Lim Kit Siang habis-habisan, dan dia pun kecam saya
juga.
“Tetapi dalam usaha untuk capai kejayaan, kita perlu sentiasa bijak.
Sebagai contohnya, apa yang dilakukan Tun Razak untuk menyelamatkan
negara. Beliau menjemput parti-parti lawan untuk menyertai parti
gabungan yang sekarang ini jadi lebih besar. Semua ini parti lawan,
tetapi kebijaksanaan Tun Razak ialah untuk mengukuhkan kerajaan.
“Saya tahu kenapa BN sentiasa menang. Sebab kita tidak lawan sesama
kita. Sebaliknya, parti lawan berlawan sesama mereka. Berpecah, dan tak
pernah dapat kerusi yang cukup untuk dirikan kerajaan,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment