RUU: Hadi sedia berjumpa sesiapa sahaja beri penjelasan
KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak
pihak tertentu yang mendakwa RUU Persendirian bagi meminda Akta 355
yang dibentangkan beliau di Parlimen pada Mei lalu sebagai tidak kemas
dan bersifat umum.
Abdul Hadi turut menyifatkan ia adalah pandangan daripada pihak yang
tidak memahami perbezaan antara perlembagaan dan undang-undang secara
jelas.
Menurutnya, apa yang dibawa itu menyentuh perlembagaan yang sememangnya
bersifat umum, berbeza dengan undang-undang itu sendiri.
“Itu adalah perlembagaan. Perlembagaan mesti umum. Orang itu tidak
faham apa itu perlembagaan dan undang-undang. Yang kita ini (kena tahu)
undang-undang, perlembagaan lain.
Kena faham. Ini (RUU) perlembagaan… mana ada perlembagaan terperinci,
perlembagaan kena umumlah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian
penutup Kongres Rakyat Terengganu di Terengganu Equestrian Resort, hari
ini.
Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, RUU Persendirian yang
dibentangkan Abdul Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 perlu diperkemaskan kerana didakwa ada perkara tidak
jelas.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja
Ahmad mendakwa bahawa ia berlaku dari sudut teknikal yang masih perlu
diperbaiki dan menganggap sekiranya tidak dititikberatkan, ia boleh
memberi kesan dari sudut perundangan itu sendiri.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya bersedia berjumpa mana-mana
pihak untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu termasuklah Majlis
Perundingan Melayu (MPM) yang pernah membantah RUU sebelum ini.
MPM sebelum ini membantah RUU persendirian yang akan dibawa Ahli
Parlimen Marang itu dengan menganggap ia tidak sah dan tidak
berperlembagaan.
“Sepatutnya dia (MPM) berjumpa dengan kitalah, bukan berjumpa dari
jauh. Kita bersedia berjumpa dengan semua pihak (Islam dan bukan
Islam),” katanya.
Abdul Hadi turut memberitahu pihaknya pernah mengadakan seminar bagi
memberi kefahaman mengenai pelaksanaan hukum hudud beberapa tahun lalu
dan terbaru Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) turut berjumpa
pihaknya bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung RUU.
Ditanya berhubung tindakan negatif pihak tertentu yang mengumpul
sebanyak sejuta tandatangan bagi menolak RUU terbabit, beliau berkata
pihaknya tiada masalah dan menyifatkan undang-undang tidak menghalang
perlakuan tersebut.
Walaupun turut mempersoalkan tindakan bukan Islam untuk menggagalkan
pembentangan terbabit yang tidak berkait dengan komuniti itu sama
sekali, beliau memberitahu bahawa tidak kurang juga yang menyokong
kerana faham isu yang dibawa.
“Saya dimaklumkanlah ada orang bukan Islam yang sokong. Ada berjumpa
dengan saya dan ada bukan Islam yang menyokong. Ini hak orang Islam
kerana mengikut peruntukkan perlembagaan, mahkamah syariah boleh
menghukum orang Islam sahaja, tidak boleh orang bukan Islam,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment