Ayah Chong Wei positif misi emas
AYAH kepada Datuk Lee Chong Wei, Lee Ah Chai positif
anaknya mampu meraih pingat emas setelah beliau berjaya menewaskan musuh
tradisinya, Lin Dan dalam pusingan separuh akhir badminton perseorangan
lelaki di Rio de Janeiro hari ini.
Beliau yang berbangga dengan pencapaian Chong Wei berharap pemain
nombor satu negara itu terus fokus dan memastikan perhatiannya tidak
terganggu untuk menghadapi perlawanan akhir esok.
"Beliau bermain dengan baik malam ini meskipun melakukan kesilapan di
set pertama, namun beliau bangkit semula di set kedua. Sudah semestinya
sebagai ayah, saya sangat berbangga dengan pencapaian beliau," katanya
ketika dihubungi Bernama selepas tamat perlawanan itu.
Chong Wei berjaya memusnahkan impian Lin Dan untuk mara ke pusingan
akhir badminton perseorangan lelaki apabila menewaskannya dalam rubber
set 15-21, 21-11 dan 22-20.
Pusingan akhir badminton perseorangan lelaki yang akan berlangsung esok
akan menyaksikan Chong Wei bertemu Cheng Long dari China.
Ah Chai turut berterima kasih atas sokongan berterusan seluruh rakyat
Malaysia dan berharap anaknya dapat menggalas harapan tersebut dan
membawa pulang pingat emas buat negara.
Terdahulu, seramai 500 orang hadir untuk menyaksikan secara langsung
perlawanan separuh akhir tersebut di Gurney Paragon, di sini yang
disediakan satu skrin besar oleh Hunza Properties.
Bagi Lim Lee Peng, 39, yang turut hadir berkata beliau sangat berbangga
dengan corak permainan Chong Wei dan akui Lin Dan adalah pemain
badminton yang sangat hebat.
"Lin Dan bukanlah pemain yang calang-calang dan Chong Wei telah berjaya
menewaskannya, meskipun sukar. Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat
berbangga dengan beliau. Selamat berjuang di final nanti," katanya. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment