Jenazah tiga sekeluarga dikebumi satu liang lahad
MELAKA - Jenazah tiga sekeluarga yang dibunuh dipercayai oleh penagih
dadah tegar, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan
Islam Bertam Malim di sini, kira-kira 11.30 pagi ini.
Lebih 500 orang terdiri daripada anggota keluarga, kenalan dan orang
ramai hadir pada upacara pengebumian jenazah pasangan suami isteri,
Hassan A.Wahab, 70, dan Mariah Baharin, 60, dan anak lelaki mereka
Muhammad Taufeq, 22.
Turut hadir Speaker Dun Melaka, Datuk Othman Muhammad; Ketua Polis
Melaka, Datuk Ramli Din, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten
Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan beberapa pemimpin
masyarakat di negeri itu.
Suasana pilu menyelubungi mereka yang berada di tanah perkuburan itu yang ketika itu hujan lebat.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Al-Faizin, Kampung Bertam Malim di
sini dari Hospital Melaka untuk disembahyangkan kira-kira 10.30 pagi
diimamkan oleh imam masjid berkenaan Rashid Mohd Yusof.
Tiga sekeluarga itu dibunuh dalam kejadian di Kampung Bertam Malim di
sini kira-kira 6.30 pagi semalam dan suspek telah ditahan polis di
Masjid Bukit Rambai di sini kira-kira 11 pagi semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin politik maut dikelar ahli keluarga]
Dua lagi anak pasangan itu, Noor Haslinda Diyana, 26, dan Nuraqedah
Aeina, 24, turut cedera parah dalam kejadian itu sedang dirawat di
Hospital Melaka. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment