Sekat pembangunan Kelantan, Pemuda Pas gesa siasat
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menggesa supaya Umno menyiasat dakwaan
yang mana adanya pemimpin parti itu sengaja menyekat pembangunan
daripada kerajaan pusat di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Nazman Che Iberahim berkata, Umno Kelantan harus
segera menyiasat dakwaan tersebut yang menggambarkan adanya pimpinan
parti itu masih mengamalkan budaya politik lapuk dan tidak matang.
“Sudah tiba masanya para menteri dari Kelantan menambahkan usaha untuk membangunkan negeri ini atas semangat anak Kelantan.
“Budaya politik sempit kepartian serta janji pembangunan bersyarat
iaitu undi Umno untuk pembangunan perlu ditinggalkan dalam era baru ini.
Pengundi sudah bijak dan memiliki maklumat di hujung jari sahaja pada
zaman ini,” katanya.
Nazman berkata, antara perkara yang sedang diperkatakan kini adalah
akan wujudnya gerakan untuk menggagalkan atau melewat projek pembinaan
lebuh raya sedangkan perbincangan secara matang membabitkan kedua-dua
kerajaan sudah mencapai kata putus terbaik.
“Ini yang menggusarkan rakyat. Sebabnya sudah tentulah pembangunan
lebuh raya ini akan memudahkan urusan dan menambahkan keselesaan anak
perantau yang pulang ke kampung setiap kali musim perayaan dan cuti.
“Semestinya rakyat Kelantan yang bijak akan tahu bahawa kerjasama yang
erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri boleh menatijahkan hasil
terbaik untuk semua,” katanya.
Namun katanya, jika benar wujud individu dan parti yang berfikir secara
dangkal berusaha ke arah menggagalkan projek pembangunan di Kelantan
maka, itu adalah berita buruk untuk rakyat.
Tambahnya, sekiranya dakwaan tersebut benar, maka rakyat dapat menilai
siapakah sebenarnya yang secara konsisten terus memperjuangkan kebajikan
rakyat di negeri ini.
Walaupun berdepan kesukaran untuk mentadbir negeri khasnya peruntukan
kewangan yang terhad, namun sentiasa memikirkan inisiatif demi
kepentingan rakyat.
Antaranya kata beliau, adalah dengan gagasan politik matang dan
sejahtera yang membawa pentadbir negeri berbincang bersama semua pihak
termasuklah kerajaan pusat.
Katanya, sejarah hitam tidak perlu lagi berulang dalam era politik
moden dan rakyat tidak lupa kejadian 30 Januari 2008 yang mana bekas
Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan didakwa telah
dipaksa pemimpin Umno supaya menyekat sebarang bentuk bantuan oleh
kerajaan pusat kepada Kelantan.
0 orang berkata:
Post a Comment