Tiada keperluan lantik ketua pembangkang baharu
KUALA SELANGOR - PKR menegaskan tiada keperluan melantik bekas Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang
baharu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pakatan
Harapan tidak pernah membincangkan perkara itu, malah ia bukan topik
penting untuk diketengahkan.
Beliau berkata PKR tetap dengan pendiriannya mengekalkan presiden parti
itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang dalam
menerajui Pakatan Harapan.
"Sekarang bukan soal siapa ketua pembangkang (baharu) sebab ketua
pembangkang telah pun ada iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Tidak ada cadangan untuk tukar (ketua pembangkang)," katanya kepada
pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan dan borang 5A Kampung
Sungai Yu, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang
memetik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai berkata bahawa
Muhyiddin boleh dilantik menjadi ketua pembangkang sekiranya Parti
Pribumi Bersatu Malaysia komited dengan agenda reformasi.
Pada 9 Ogos lepas, Muhyiddin dan beberapa bekas pemimpin Umno
mendaftarkan parti itu, yang dikritik sebagai serpihan Umno dan tanpa
motif jelas penubuhannya. –Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment