'Kalau tak setuju, sila keluar Umno'
KUALA TERENGGANU - Mana-mana pihak yang menyokong perjuangan Parti
Bersatu perlu menunjukkan pendirian mereka sebaik parti itu diluluskan,
bukannya bersembunyi di sebalik nama Umno.
Pengerusi Tetap Pemuda Umno Kuala Terengganu, Othman Endut berkata,
ahli parti yang sudah tidak berpihak kepada Umno perlu menunjukkan
pendirian jelas dan tidak sesekali bertindak sebagai duri dalam daging
yang melemahkan parti dari dalam.
“Kalau sudah tidak setuju dengan Umno, keluar Umno dan mereka boleh
sertai mana-mana parti yang selari dengan kehendak mereka, termasuklah
parti baharu.
“Bagi Umno, sudah tentu kita tidak ada paksaan kepada mana-mana pihak
untuk sertai mana-mana parti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Mengulas mengenai kesan penubuhan Parti Bersatu kepada Umno, Othman
tidak menolak Umno sedikit sebanyak akan turut terkena tempiasnya.
“Penubuhan parti baharu sudah tentu akan meninggalkan kesan kepada
parti lama sama ada Umno, Pas dan sebagainya kerana ahli-ahli parti
baharu berasal dari parti-parti lama.
“Kalau mereka masuk parti baharu, ia tidak akan meninggalkan kesan
khusus kepada kekuatan Umno sebaliknya pendirian mereka akan dilihat
lebih terang lagi bersuluh,” katanya.
1 orang berkata:
Hanya masa menentukan sama ada omno akan bersendirian di suatu masa
Post a Comment