Merdeka sudah cukup lama, namun…
SHAH ALAM – Tempoh 59 tahun adalah satu tempoh kemerdekaan yang panjang
dan cukup untuk membangunkan sebuah negara yang maju dan disegani, kata
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun menurut Abdul Hadi, realitinya hari ini, negara dihambat
dengan pelbagai masalah yang mencengkam rakyat seperti kos sara hidup
yang membebankan, ekonomi yang lemah, keselamatan, perpaduan kaum yang
semakin rapuh dan pelbagai masalah lain.
“Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada ALLAH atas
nikmat kemerdekaan yang kita kecapi untuk tahun ke 59 pada tahun ini.
“Sambutan kemerdekaan kali ini disambut dengan pelbagai rencah warna
suka duka yang melanda negara kita dan dunia keseluruhannya. Negara kita
telah melalui tempoh penjajahan yang panjang selama hampir 450 tahun di
bawah pelbagai kuasa penjajah sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963.
Sepanjang tempoh ini telah menyaksikan kebangkitan pelbagai golongan
rakyat menentang penjajah terutamanya ulamak,” katanya dalam kenyataan
hari ini.
Sehubungan itu, Pas mengambil kesempatan dengan menawarkan penyelesaian
Islam yang dikatakan terbukti memberikan keadilan dan keamanan kepada
semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Sempena sambutan kemerdekaan negara kali ini, saya menyeru seluruh
rakyat Malaysia untuk bersama Pas dan keadilan Islam di atas semangat
ukhuwah ke arah membina Malaysia yang lebih baik dengan petunjuk dari
ALLAH,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment