• Himpunan Munajat
1 / 1
KUALA LUMPUR - Malaysia disaran untuk mengadakan himpunan jauh lebih besar berbanding yang diadakan bermula Jumaat dan malam tadi sebagai bantahan terhadap kekejaman yang berlaku di Mesir.

Menurut salah seorang peserta Himpunan Munajat 100K di Padang Merbok, Mu'adz Dzulkefly, rakyat Malaysia harus mengenepikan fahaman politik demi menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kezaliman di bumi Islam itu.

"Dengan emosi dan kesedaran yang ada ini, ini yang kita mahukan.

"Malah, jika boleh, kita harus buat (bantahan) yang lebih besar lagi tanpa melihat latar belakang politik kerana ini isu kemanusiaan," katanya.

Mua'dz menyifatkan kekejaman yang berlaku di Mesir sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

"Apa yang berlaku di Mesir sememangnya tidak boleh diterima oleh sesiapa. Tak kira Muslim atau bukan. Ia pembunuhan di siang hari di depan mata dunia.

"Tindakan rejim Mesir itu memang sangat di luar jangkaan orang. Kita memang tak sangka ia sampai ke tahap ini (pembunuhan)," katanya.

Pelajar Universiti Al Al-Bayt, Jordan, Abdullah Suadi Mohd Nasir turut berkongsi suasana di Kaherah ketika ke sana pada 30 Julai lalu.

"Pada 30 Julai, saya dan isteri 'transit' di Mesir selama beberapa hari untuk pulang ke Malaysia.

"Kami hanya dapat melihat perarakan yang berlaku dan tiada pembunuhan bermula pada waktu itu," katanya kepada Sinar Harian Online, malam tadi.

Katanya dinding-dinding di negara itu penuh dengan tulisan-tulisan yang mengutuk Al-Sisi dan Presiden sementara Mesir, ElBaradei.

"Dapat dilihat di dinding-dinding tulisan dan contengan yang mengutuk Al-Sisi dan ElBaradei. Ia menunjukkan bahawa keadaan di sana sudah cukup kritikal.

"Suasana ketika itu sudah sampai tahap di mana rosak daripada dalam apabila majoriti di Kaherah iaitu hampir 1 juta rakyat menolak kerajaan sementara itu," katanya yang pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri.

Abdullah mengakui sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan apabila pulang ke sana nanti.

"Kami akan pulang semula ke Jordan dan 'transit' di Mesir Insya-ALLAH dalam dua hari dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di sana nanti," katanya.

Semalam himpunan yang bermula sejak jam 4 petang dan berakhir sekitar jam 9 malam tadi, menyaksikan hampir 10,000 menyatakan solidariti kepada rakyat Mesir.

Himpunan bermula dengan ucapan daripada beberapa wakil pemimpin, orang ramai didedahkan dengan kekejaman tentera Mesir yang sudah mengambil nyawa rakyatnya sendiri.

Peserta turut bersolat Asar, Maghrib dan Isyak secara berjemaah dengan disertai bacaan doa Qunut Nazilah.

Himpunan turut dihadiri oleh beberapa pemimpin pembangkang seperti Mat Sabu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub dan Anthony Loke Siew Fook.