• Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
1 / 1
KUALA LUMPUR - "Jika hadir himpunan menjadi ukuran (guling kerajaan) sudah lama Pas perintah Malaysia".

Demikian kata, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengutuk kekejaman tentera Mesir terhadap rakyatnya.

Menurutnya, perkara yang dilakukan rakyat Mesir adalah salah satu cara yang digunakan dalam sistem demokrasi.

Katanya, rakyat Mesir berhimpun bertujuan untuk menuntut pembebasan semula bekas presiden negara itu, Dr Mohamed Mursi.

"Setiap pemerintahan memang akan ada bantahan daripada rakyat...  ia mesti kerana ada yang tak kena.

"Rakyat akan bangun protes, itu penting dalam amalan demokrasi.

"Rakyat tak salah, yang salah tentera yang memihak kepada mana-mana kuasa," katanya pada Himpunan Munajat 100K, di Padang Merbok, malam tadi.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menambah, yang menjadi ukuran untuk seseorang pemimpin memerintah adalah melalui undi rakyat.

"...pilihan raya di Mesir yang mengenengahkan Mursi dan telah berjaya secara adil dan sah dengan memenangi sebanyak 52 peratus.

"Tak ada 505 di sana, tak ada 'blackout', tak ada tong undi jatuh dari langit, tak ada rakyat pertikaikan ia sah," katanya.

Di Mesir, pasukan keselamatan terus membedil dan menawan masjid antaranya masjid Al-Fath yang menjadi tempat persembunyian penyokong Mursi.

Keganasan terus bermaharajalela sehingga ribuan dilaporkan terkorban dan cedera.