• Mat rempit rempuh sekatan Mohd Johari menunjukkan motosikal didapati tidak cukup syarat kerana tiada cermin sisi.
1 / 1
KUANTAN - Kehadiran puluhan anggota penguat kuasa dalam satu sekatan jalan raya di sini langsung tidak menggentarkan sekumpulan mat rempit sehingga sanggup bertindak ‘gila’ menunggang secara melulu bagi mengelak daripada ditahan.

Tindakan ‘berani mati’ itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengancam keselamatan penguat kuasa bertugas dan pengguna jalan raya yang lain.

Beberapa cubaan meloloskan diri itu disaksikan dalam sekatan jalan sempena Ops Khas Motosikal Bersepadu melibatkan beberapa agensi termasuk polis, JPJ dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kilometer 1 Jalan Teluk Sisek, di sini, malam kelmarin.

Walaupun ada beberapa penunggang berjaya melepaskan diri, namun ramai ditahan atas pelbagai kesalahan hasil kecekapan anggota bertugas.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Pahang, Mohd Johari Mat Nor berkata, situasi itu adalah sebahagian cabaran dihadapi pihaknya dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya.

Menurutnya, insiden seumpama itu sering berlaku, malah penunggang ditahan juga didapati kerap melakukan kesalahan sama.

“Penunggang bermasalah ini tidak pernah mengambil berat aspek keselamatan dengan melakukan kesalahan berterusan yang membahayakan diri mereka sendiri.
“Namun bila tertangkap, mereka sanggup merayu minta dilepaskan atas pelbagai alasan ‘lapuk’,” katanya, semalam.

Beliau berkata, sepanjang operasi bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 141 kes dikesan termasuk kesalahan membabitkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan sebagainya.

Menurutnya, mengikut pecahan, sebanyak 41 kes melibatkan kesalahan lesen memandu termasuk tidak mempunyai lesen dan lesen memandu tamat tempoh.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kes membabitkan cukai jalan dan insurans motosikal tamat tempoh, malah ada yang melebihi enam bulan.

“Manakala 17 lagi dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk keadaan motosikal tidak cukup syarat (teknikal). Malah, kita turut menyita 13 motosikal untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Johari berkata, kompaun dikeluarkan bagi kesalahan melibatkan lesen memandu dan teknikal, manakala bagi semua kes melibatkan LKM, pesalah akan dituduh di mahkamah.

Sementara itu, AADK pula memeriksa sebanyak 48 sampel urin penunggang serta pembonceng motosikal dan mendapati sembilan daripadanya positif dadah.